KUANTAN - Sebuah vesel nelayan tempatan (VTN) Kelas C bersama hasil laut seberat 950 kilogram (kg) dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana disyaki beroperasi tanpa permit sah di perairan Kuala Kuantan pada Isnin.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia melalui Op MAKMUR dan Op TIRIS.
"Kita mengesan vesel nelayan itu berada dalam keadaan mencurigakan ketika sedang berapung kira-kira 1.5 batu nautika dari tenggara Kuala Kuantan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong dan empat kru, semuanya warga Myanmar berusia antara 21 hingga 35 tahun.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati vesel terbabit disyaki tidak memiliki sebarang permit kerja atau kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia serta tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
"Susulan itu, kita merampas vesel berserta peralatan menangkap ikan dan hasil laut.
"Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut,” katanya.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan lanjut,” katanya.