KUANTAN - Seorang jururawat kerugian lebih RM107,810 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.
Kejadian bermula awal tahun lalu apabila wanita berusia 52 tahun yang menetap di Temerloh tertarik dengan satu iklan pelaburan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berminat telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sebanyak RM12,000 selepas melabur RM350.
"Namun, tiada sebarang keuntungan diterima selepas pelaburan pertama dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat beberapa bayaran tambahan dan telah melakukan 16 transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza.
Jelasnya, transaksi itu dilakukan antara 23 hingga 28 Mei lalu yang melibatkan jumlah keseluruhan RM107,810 wang yang merupakan simpanan ASB milik mangsa.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Masyarakat juga diingatkan supaya menyemak nombor akaun bank yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.