Trend kemasukan warga asing secara tidak sah di KLIA meningkat - AKPS

Iklan
Antara warga asing yang dikesan tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia diarah pulang serta-merta di KLIA, pada Isnin.

SEPANG – Seramai 279 warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan India yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia telah diarahkan pulang serta-merta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.

Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa jumlah tersebut merupakan rekod tertinggi dalam satu hari bagi kes 'Not-To-Land' (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau AKPS KLIA pada tahun 2023.

Iklan
Iklan

"Trend kemasukan warga asing secara tidak sah ini dilihat semakin meningkat, khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia.

"Keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi sering dimanipulasi oleh segelintir individu untuk menyelinap masuk dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan,” katanya.

Antara warga asing yang dikesan tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia diarah pulang serta-merta di KLIA, pada Isnin.

Iklan

Menurut kenyataan itu, langkah pengusiran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan, sekali gus memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat sahaja dibenarkan memasuki negara ini.

"Semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal masing-masing serta-merta selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawai AKPS.”

Iklan

Menurutnya, penubuhan Pasukan Pemantau AKPS KLIA sejak dua tahun lalu dilihat memberi impak positif, khususnya dalam mempertingkat keberkesanan saringan awal serta pengesanan pelawat berisiko.

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen agensi tersebut dalam melaksanakan pemantauan yang tegas dan konsisten bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.