MALAYSIA kini berdepan ancaman serius terhadap ekosistem air tawar akibat pencerobohan spesies ikan asing invasif seperti ikan bandaraya (pleco), baung ekor merah dan tilapia hitam.
Spesies ini bukan sahaja mengganggu keseimbangan ekologi, malah mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan bernilai tinggi seperti kelah, sebarau dan temoleh.
Kajian Jabatan Perikanan Malaysia mendedahkan bahawa ikan bandaraya dan tilapia kini menguasai enam sungai utama di Lembah Klang, termasuk Sungai Klang dan Sungai Kuyoh.
Daripada 817 ekor ikan yang ditangkap dalam satu inventori, hanya enam ekor merupakan spesies asli seperti puyu dan haruan, manakala selebihnya adalah spesies asing.
Ikan bandaraya yang popular dalam industri akuarium, terkenal dengan daya tahan tinggi dan kemampuan menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran termasuk air tercemar. Ia juga menggali lubang di tebing sungai untuk bersarang yang boleh menyebabkan hakisan dan kerosakan habitat.
Baung ekor merah yang dikenali sebagai 'serigala merah' oleh penduduk Sungai Bernam pula merupakan pemangsa agresif memakan ikan dan udang tempatan, sekali gus mengurangkan populasi spesies asal.
Kehadirannya telah dilaporkan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia, termasuk Pahang, Johor dan Selangor. Pada 2024, jumlah penemuan tertinggi ialah di Selangor, Pahang dan Perak dengan masing-masing sebanyak 34, 23 dan 21 ekor.
Justeru, larangan melepaskan spesies asing ke perairan umum perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas, termasuk pengawalan terhadap penternakan dan pelepasan ikan invasif seperti baung ekor merah dan juga ikan keli Afrika.
Tindakan seperti pemuliharaan habitat asli melalui penanaman semula tumbuhan akuatik dan pengawalan pencemaran juga perlu dilaksanakan bertujuan memastikan kelangsungan spesies ikan tempatan.
Selain itu, penyelidikan berterusan untuk memantau populasi spesies asing dan kesannya terhadap ekosistem serta mengembangkan strategi pengurusan berkesan perlu dijalankan.
Ancaman spesies ikan asing terhadap ekosistem air tawar Malaysia memerlukan tindakan segera dan bersepadu dari semua pihak.
Dengan kerjasama antara agensi kerajaan, komuniti dan individu, kita dapat memastikan kelestarian biodiversiti akuatik dan sumber perikanan negara untuk generasi akan datang.