SEREMBAN – Menjelang Aidiladha, Ahmad Nazari Abdullah, 62, antara individu yang dicari-cari kerana perkhidmatan mengasah parang dan pisau yang disediakannya.
Seminggu sebelum tibanya hari itu, rutin bapa kepada lima anak ini semakin sibuk kerana perlu segera menyiapkan tempahan pelanggan.
Menurut Ahmad Nazari, dia pernah menerima lebih 100 bilah parang dan pisau untuk diasah sempena hari raya korban iaitu dua tahun lalu.
"Biasanya kalau seorang pelanggan itu bukannya datang dengan satu parang tetapi banyak kerana mahu digunakan untuk tujuan ibadah korban.
"Mereka ini tak hantar lebih awal sebabnya tak mahu ketajaman peralatan sembelih yang mahu digunakan itu terjejas," katanya kepada Sinar Harian ditemui di rumahnya di Kampung Sentosa Paroi di sini pada Isnin.
Ujarnya, caj yang dikenakan bergantung kepada keadaan mata pisau yang mahu diasah atau dibaiki, yang bermula serendah RM10.
Jelasnya lagi, terdapat pelbagai cara mengasah senjata tersebut dan jika tidak betul caranya, ia tidak akan tajam lama.
Disebabkan itu, kata Ahmad Nazari, proses tersebut dibuatnya secara teliti demi memberi kepuasan pelanggan.
"Macam saya, ambil masa paling lama pun satu jam dan kalau parang atau pisau itu betul-betul tajam, bulu roma pun boleh tercabut," katanya.
Selain itu, katanya, bagi memastikan senjata tersebut tidak cepat tumpul dan berkarat, pastikan bilahnya dalam keadaan kering sebelum disimpan.
Tambahnya, sebaiknya parang atau pisau yang digunakan untuk sembelih tidak digunakan untuk tujuan lain.
Dia juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu mengasah parang atau pisau dengan betul kepada sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya.
Selain menjelang hari raya korban, khidmat yang diberikannya itu turut mendapat permintaan sebelum dan menjelang hari raya puasa untuk program mantai.
Pada masa yang sama, Ahmad Nazari turut mengambil upah membuat hulu dan sarung parang bermula pada tahun 2005 selepas mempelajari daripada arwah abang iparnya.
"Sebelum ini saya kerja kilang, tapi berhenti kerana mahu pulang ke kampung dan menjaga emak yang sudah tua.
"Saya selalu tengok arwah abang ipar buat hulu dan sarung parang. Lama kelamaan minat itu datang dan kini ia jadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.
Kos pembuatan hulu dan sarung parang, kata Ahmad Nazari, bergantung kepada jenis kayu, saiz, dan ukiran yang dikehendaki pelanggan.
Jelasnya, kayu paling terbaik yang digunakan ialah kayu kemuning emas tetapi harganya agak mahal.
"Kalau guna kayu itu untuk buat hulu parang sahaja, saya caj RM150 dan kalau ada banyak ukirannya, ia lagi mahal.
"Tapi harga itu bergantung kepada tukang dan ada yang tetapkan upah lagi tinggi," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Fauzan Azri Jaafar, 37, berkata, menjadi kebiasaan buatnya menghantar parang kepada Ahmad Nazari untuk diasah setiap kali menjelang Aidiladha.
"Saya pernah cuba asahnya sendiri, tapi tak dapat setajam yang tukang parang buat.
"Lagi pun nak buat ibadah korban ini, kita perlukan senjata yang terbaik dan bagi saya lebih baik dihantar kepada mereka yang lebih pakar," katanya.