KAJANG – Penduduk di kawasan perumahan Verna Serene Heights, Semenyih di sini menggesa agar kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah pencemaran udara yang didakwa berlaku akibat pembakaran terbuka oleh tapak pelupusan haram sejak lima tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Verna Serene Heights (PPVSH), Shari Edzwan Sharif berkata, pembakaran yang berlaku sekitar satu kilometer (km) dari penempatan penduduk itu mula dikesan secara serius sejak Mac lalu apabila asap tebal menyelubungi kawasan tersebut pada setiap pagi.
Menurutnya, situasi itu bertambah teruk dengan kejadian pembakaran terbuka oleh ladang berdekatan yang dipercayai sengaja mengambil kesempatan menyebabkan kawasan sekitar Alam Sari dan Sungai Tangkas turut terjejas.
"Kami baru pindah ke sini (Verna Serene Heights) sejak dua tahun lalu, tetapi kejadian pembakaran ini jadi lebih agresif bermula bulan puasa lalu, yang mana apabila kami buka sahaja pintu rumah, sudah boleh hidu bau dan nampak asap tebal menyebabkan kami mula mencari punca ini.
"Salah seorang penduduk menerbangkan dron dan kami dapat kenal pasti asap datang dari kawasan hutan belakang perumahan ini termasuk satu tapak pelupusan sampah haram dan ladang, malah imej api merah menyala juga dapat dirakam.
"Jadi, kami hubungi bomba dan mereka segera hadir ke lokasi. Lebih mengejutkan apabila mereka memaklumkan bahawa kebakaran ini bukan perkara baru dan telah berlarutan lebih lima tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Tambah Shari Edzwan, susulan kejadian itu, pihak bomba dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terpaksa berkampung selama tiga hari untuk memadamkan api yang berpunca dari timbunan sampah setinggi tiga tingkat di tapak berkenaan.
Beliau berkata, kejadian pembakaran haram yang berlaku tanpa penyelesaian tuntas itu bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah menjejaskan kesihatan penduduk terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
"Anak saya sendiri terpaksa menggunakan nebulizer dan ada juga kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital selama beberapa hari disebabkan masalah pernafasan serta mata bengkak.
"Bukan itu sahaja, kesihatan kami juga sering terjejas dan bersin berterusan disebabkan hidu bau udara tercemar. Lebih teruk apabila asap ini masuk ke dalam rumah melalui penyaman udara, terutama pada waktu malam.
"Kebiasaannya, mereka akan mula buat pembakaran terbuka pada waktu malam dan apabila kami bangun pada keesokan hari, banyak tompokan kuning yang melekat pada kereta yang diparkir di luar rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shari Edzwan berkata, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa dengan menggunakan saluran yang betul, namun sehingga kini masih tiada penyelesaian tuntas.
"Kami amat kecewa apabila jawapan yang diterima sangat menghampakan. Kami telah membuat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), tetapi maklum balas yang kami terima bahawa isu ini di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kes ditutup begitu sahaja.
"Beberapa wakil rakyat lain telah mengambil maklum isu ini tetapi difahamkan hanya tindakan menyita lori dan mengenakan denda terhadap pemilik tanah yang bagi saya tidak memberi kesan terhadap masalah yang masih berterusan.
"Sampai bila kami perlu hidu asap kotor ini. Anak-anak kami sakit, kucing peliharaan mati. Kami tidak boleh padam api sendiri, kami hanya rakyat biasa yang minta hak untuk dapatkan udara bersih,” katanya lagi.