Ketua DAPSY beri keterangan kes karikatur badut Razman, telefon dirampas

Iklan
Kah Leong (duduk, tengah) mengaku telah memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadap satu hantaran di media sosial miliknya memaparkan imej Razman dalam bentuk karikatur badut.

IPOH - Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong telah memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadap satu hantaran di media sosial miliknya yang memaparkan karikatur Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria.

Siasatan ke atas Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap hantaran tersebut, dipercayai menyentuh sensitiviti pihak tertentu apabila memaparkan imej Razman dalam bentuk karikatur badut.

Iklan
Iklan

Peguamnya, Syahredzan Johan berkata, dua pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah hadir ke Pejabat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk merakam percakapan Kah Leong yang berlangsung selama 30 minit bermula jam 10.50 pagi pada Isnin.

"Pada awalnya, beliau diminta hadir ke Gerik, namun selepas perbincangan, pihak polis bersetuju untuk datang ke sini bagi memudahkan proses rakaman percakapan. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak polis dalam hal ini.

Iklan

"Soalan-soalan telah diajukan dan semuanya telah dijawab. Kami beri kerjasama penuh kerana kami faham siasatan perlu dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP Perak di sini pada Isnin.

Menurut Syahredzan, dalam proses siasatan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone milik Kah Leong termasuk kad SIM bagi tujuan siasatan lanjut.

Iklan

"Kami serahkan tanpa sebarang halangan. Kami tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana kita tahu pihak polis hanya menjalankan tugas,” ujarnya.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu turut mempersoalkan keperluan laporan polis tersebut.

"Perkara ini sebenarnya tidak perlu sampai ke tahap laporan polis kerana aduan tersebut hanya berasaskan rasa tidak puas hati terhadap satu hantaran media sosial,” katanya.

Sementara itu, Kah Leong berkata, laporan polis yang dibuat ke atas beliau merupakan satu budaya politik yang tidak sihat selain menyekat kebebasan bersuara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu turut menyifatkan politik sindiran termasuk dalam bentuk karikatur bukanlah bentuk serangan peribadi, sebaliknya satu bentuk seliaan awam.

"Sebagai seorang ahli politik, saya mempertahankan hak semua pihak untuk mengkritik saya dan dalam masa yang sama, saya juga berhak melawan balik tanpa mendiamkan diri,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan telah mengambil keterangan daripada wakil rakyat DAP berkenaan.

"Ya, ada rekod keterangan. Ia adalah salah satu proses dalam siasatan,” katanya ringkas.

Razman sebelum ini menuntut agar Kah Leong memohon maaf secara terbuka dalam Sidang DUN berhubung penyiaran kandungan berunsur provokatif terhadapnya yang dimuat naik di media sosial pada 10 April lalu.

Bagaimanapun, Kah Leong mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan paparan karikatur tersebut sebagai satu kaedah sindiran berdasarkan fakta yang merupakan salah satu aspek dalam sistem demokrasi.