Bukan lagi jalan raya, tapi 'jalan derita' ke Sipitang

Iklan
Seorang penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan akibat terlanggar lubang ketika melalui jalan Kampung Naluyan, Sipitang.

SIPITANG - Cuti sekolah yang bermula sejak lima hari lalu dimanfaatkan penulis untuk pulang ke kampung di Beaufort dan dalam masa yang sama, timbul pula keinginan untuk ‘makan angin’ ke daerah jiran yang terkenal dengan keenakan satenya.

Memanfaatkan cuti hujung minggu semalam, penulis bersama keluarga bergerak ke Sipitang iaitu sebuah daerah sempadan yang juga merupakan pintu masuk utama bagi pengunjung dari Sarawak dan Brunei untuk ke Sabah.

Iklan
Iklan

Perjalanan yang lazimnya mengambil masa sekitar 40 minit dari Beaufort ke Sipitang suatu ketika dahulu, kini memakan masa hampir satu jam disebabkan laluan tersebut terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di bawah Pakej Dua yang membabitkan jajaran Mesapol ke Beaufort, serta Pakej Sindumin ke Melalia.

Sepanjang perjalanan ke Sipitang, seingat penulis terdapat lebih lima laluan utama yang ‘terputus’ pada jarak sekitar 100 hingga 500 meter, di mana keadaan jalan yang bukan sahaja tidak berturap dan berbatu tetapi juga berlubang akibat kesan kerja pembinaan yang dijalankan sejak lapan tahun lalu.

Iklan

Lebih menghairankan, sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Sipitang, penulis turut melihat pelbagai jenis jentera berat ‘tersadai’ di tepi jalan namun tidak kelihatan pekerja yang menjalankan sebarang kerja pembinaan di laluan terbabit.

Dalam keadaan itu, penulis yang memandu terpaksa lebih berhati-hati untuk mengelak lubang yang dalam dan melalui jalan yang tidak berturap. Selain itu, laluan yang dialihkan juga dilihat mengelirukan pemandu, sekali gus menyumbang kepada risiko kemalangan.

Keadaan jalan tidak berturap menyebabkan pengguna terpaksa memperlahankan pemanduan dan lebih berhati-hati bagi mengelak batu terkena cermin kenderaan.

Iklan

Jika penulis sendiri sudah terasa perit melalui jalan tersebut yang hanya dilalui setahun sekali, bayangkan pula kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh pengguna jalan raya yang menghadapinya setiap hari.

Keadaan jalan yang rosak dan tidak selamat itu turut tular di media sosial apabila beberapa insiden kemalangan berlaku, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Rungutan pengguna jalan yang dikongsikan menerusi laman Facebook DUN Sindumin, melaporkan seorang warga emas cedera apabila motosikal yang ditungganginya terjunam ke dalam lubang di kawasan Kampung Naluyan.

Kejadian dipercayai berlaku pada malam Sabtu lalu ketika warga emas tersebut dalam perjalanan pulang selepas menyertai pertandingan karaoke di Pekan Sipitang.

Menurut hantaran tersebut, kecuaian pihak kontraktor yang menjalankan kerja pembinaan LPB didakwa menjadi punca kerana tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan.

"Kecaman dan aduan rakyat di Sipitang sejak bertahun lamanya tidak diambil peduli oleh pihak bertanggungjawab.

"Taklimat dan mesyuarat oleh wakil rakyat dan kontraktor sebelum ini juga seperti tiada perubahan penambahbaikan untuk keselamatan rakyat yang melalui jalan Pan Borneo ini setiap hari.

"Kalau bukan kepada pihak kerajaan dan wakil rakyat, kepada siapa lagi rakyat harus mengadu untuk penyelesaian segera masalah jalan Pan Borneo Sipitang–Beaufort ini,” tulis hantaran tersebut.

Dalam perkongsian terbaharu di laman sama, turut dimaklumkan berlaku satu lagi kemalangan di kawasan Mesapol yang dikaitkan dengan ketiadaan lampu keselamatan dan papan tanda amaran.

Susulan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob turun padang meninjau kawasan kejadian dan melahirkan kekecewaannya terhadap pihak kontraktor yang didakwa tidak peka dengan kesukaran pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Ketika ditemui penulis, beliau memaklumkan bahawa isu itu telah beberapa kali disuarakan, bukan sahaja kepada pihak kontraktor tetapi juga kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap jalan raya.

Laluan yang dialihkan turut mengelirukan pengguna jalan raya ditambah pula tiada papan tanda amaran.

"Sebenarnya saya sebagai ADUN, hentam sudah, perjuangkan pun sudah, panggil masyarakat dan perjelaskan pun sudah, begitu juga perbincangan dengan pihak kontraktor, tetapi sehingga kini keadaan masih sama.

"Apakah saya tidak melakukan usaha? Saya sedar perkara ini dan saya tahu masalah rakyat. Tengah malam Sabtu, seorang pengguna jalan yang menaiki motosikal telah masuk ke dalam lubang dan mengalami kecederaan patah tangan.

"Jadi saya minta kontraktor atau penyelia, kena ambil perhatian perkara ini. Dulu saya sudah maklumkan, papan tanda mesti jelas, tempat-tempat berbahaya mesti ada amaran. Ini adalah tanggungjawab kontraktor,” katanya.

Dr Yusof berkata, sebagai pemimpin, beliau tidak mempunyai kuasa sepenuhnya dalam hal itu, sebaliknya hanya mampu menegur dan merayu agar laluan terbabit dapat digunakan dengan selamat meskipun masih dalam pembinaan.

"Sebagai pemimpin saya menggunakan kaedah berunding dan berdiplomasi dengan pihak berkaitan kerana saya bukan jurutera, malah saya tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak terlibat dalam mesyuarat bulanan berkaitan pembinaan LPB.

"Tapi apa yang saya lihat, proses pembinaan LPB bagi kawasan ini, bagi laluan Sipitang ke Beaufort, agak lambat dan tidak memberangsangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar perkara ini diberi perhatian serius oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga kontraktor yang terlibat.

"Kita dijanjikan jalan ini siap tetapi saya tidak tahu bila, sekarang sudah 2025. Tapi saya sudah minta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama kontraktor untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.