Enam rumah musnah terbakar, penghuni tinggal sehelai sepinggang

Iklan
Keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Ketiau, Putatan.

PUTATAN - Enam rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Ketiau, di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan terkorban namun kesemua penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.48 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggotanya dikerah ke lokasi dengan bantuan 11 anggota BBP Penampang dan sembilan anggota BBP Kota Kinabalu.

Iklan

"Menurut laporan, kebakaran melibatkan enam rumah yang terbakar 100 peratus. Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air daripada jentera tangki air bomba dan air terbuka iaitu sungai.

"Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi, tiada mangsa yang terlibat atau terkorban," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Katanya lagi, operasi tersebut berjaya menyelamatkan tujuh rumah berhampiran dan sebuah kenderaan jenis Proton Saga.

"Operasi ditamatkan pada jam 10.59 pagi selepas memastikan keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan Masawi Salleh mengisytiharkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sri Keramat, di sini dibuka bagi penempatan mangsa yang terjejas akibat kebakaran tersebut.