Pemuda cerebral palsy tamat pengajian di Harvard berkat pengorbanan ibu

Iklan
Ding berjaya menamatkan pengajian sarjana di Universiti Harvard hasil pengorbanan dan sokongan luar biasa ibunya, Zou sejak dari kecil.

BEIJING - Seorang lelaki dari China yang menghidap cerebral palsy sejak lahir mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Harvard, hasil pengorbanan dan sokongan tidak berbelah bahagi ibunya.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), Ding Zheng, 37, hampir tidak diberi peluang untuk hidup selepas dilahirkan apabila doktor dan bapanya mencadangkan agar dia ‘dilepaskan’ kerana keadaannya yang kritikal. Namun, ibunya, Zou Hongyan, 62, enggan berputus asa dan berjuang demi nyawa anaknya.

Iklan
Iklan

Zou membesarkan Ding secara bersendirian selepas bercerai, dan melatih anaknya berdikari sejak kecil termasuk mengajarnya menggunakan penyepit makan selama setahun demi menjaga maruah diri anaknya apabila dewasa.

"Ini untuk maruahnya. Jika saya menangis, anak saya akan menangis lebih kuat,” kata Zou.

Iklan

Ketika ramai yang meragui keupayaan anaknya, Zou terus percaya dan bekerja keras, walaupun ketika itu hanya bergaji 100 yuan (kira-kira RM65) sebulan dan perlu menanggung kos pemulihan setiap dua hari ketika anaknya masih kecil.

Walaupun menghadapi kesukaran menggerakkan bahagian kiri tubuhnya, Ding cemerlang dalam pelajaran sejak kecil hingga berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Peking, dan kemudiannya ke Universiti Harvard dalam bidang undang-undang.

Iklan

Beliau menamatkan pengajian dalam tempoh setahun dan berjaya lulus peperiksaan bar Negeri New York, sebelum pulang ke kampung halamannya untuk berkhidmat sebagai penasihat undang-undang.

Zou, yang menyimpan semua rekod penting berkaitan anaknya termasuk sijil lahir dan keputusan peperiksaan, menyifatkan kejayaan itu sebagai penutup segala keperitan yang mereka lalui bersama.

"Kejayaan Ding mengingatkan saya kepada anak kecil yang hampir dicabut tiubnya, yang pernah dibuli,” katanya.