Majlis kahwin kecoh gara-gara penyaman udara

Iklan
Tangkap layar video memaparkan kekecohan berlaku di sebuah majlis.perkahwinan di Jhansi, Uttar Pradesh pada 28 Mei lepas.

NEW DELHI - Majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi detik bersejarah bertukar kecoh apabila pertelingkahan kecil mengenai penyaman udara mencetuskan pergaduhan di Jhansi, Uttar Pradesh pada 28 Mei lalu.

Insiden itu berlaku semasa majlis perkahwinan anak perempuan Ganeshi Raikwar, Sapna, yang berkahwin dengan pasangannya, Sonu dari Awas Vikas.

Iklan
Iklan

Menurut saksi, kekecohan bermula selepas upacara ‘jaimala’ selesai dan para tetamu sedang menikmati hidangan.

Beberapa tetamu dilaporkan duduk menghalang aliran udara dari penyaman udara yang disediakan khas untuk pasangan pengantin.

Iklan

Difahamkan, pihak pengantin perempuan telah meminta mereka beralih tempat bagi memberi ruang kepada pengantin menikmati udara sejuk, namun permintaan itu tidak diendahkan. Sebaliknya, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila kerusi dibaling dan suasana bertukar huru-hara. Lebih memburukkan keadaan, beberapa lelaki tempatan turut campur tangan dan menyerang ahli keluarga pengantin lelaki, menyebabkan ramai tetamu bertempiaran melarikan diri meninggalkan makanan.

Iklan

Menurut abang pengantin perempuan, Mohit, mereka hanya membuat permintaan agar tempat duduk dialih sedikit, namun tindakan itu dibalas dengan maki hamun dan serangan fizikal tanpa sebab.

Sementara itu, Pegawai Kanan Polis Daerah (CO) Jhansi, Ramveer Singh mengesahkan insiden pergaduhan tersebut seperti yang tular di media sosial, termasuk rakaman video yang menunjukkan kerusi digunakan sebagai senjata semasa majlis berlangsung.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Sipri Bazar.

"Setakat ini, tiada laporan rasmi diterima daripada mana-mana pihak. Namun, tindakan undang-undang akan diambil sebaik sahaja aduan difailkan secara rasmi oleh pihak terlibat,” katanya.