KEMALANGAN jalan raya bukan sekadar insiden tragik, tetapi mencerminkan kelemahan sistem khususnya dalam pengurusan pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya yang masih belum mantap di Malaysia.
Di negara ini, kemalangan menjadi perkara biasa dengan pelbagai insiden berlaku setiap hari — daripada kes ringan hingga melibatkan kehilangan nyawa.
Kenderaan berat seperti bas dan lori sering menjadi punca utama dalam kemalangan besar yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Situasi ini bukan sahaja mengancam nyawa, malah menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem keselamatan jalan raya sedia ada.
Pada 1 Jun lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, berlaku kemalangan melibatkan dua bas ekspres dan sebuah lori di KM 51.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Kluang, Johor, yang menyebabkan beberapa individu mengalami kecederaan serius.
Kejadian dipercayai berlaku apabila bas pertama melanggar bahagian belakang lori, lalu menyebabkan pelanggaran berantai yang turut membabitkan bas kedua.
Waktu kejadian yang berlaku pada awal pagi menimbulkan isu berkaitan keletihan pemandu dan jadual pemanduan yang tidak seimbang, khususnya bagi pemandu syif malam yang memandu tanpa rehat mencukupi.
Faktor penyelenggaraan kenderaan juga perlu diberi perhatian serius, memandangkan terdapat bas dan lori yang masih beroperasi walaupun tidak diselenggara dengan baik, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Keadaan lebuh raya turut memainkan peranan penting, khususnya dari aspek pencahayaan dan tanda amaran yang perlu sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan kemalangan ketika waktu gelap.
Selain itu, pengurusan jadual dan kebajikan pemandu perlu diberi perhatian, termasuk pematuhan terhadap garis panduan tempoh memandu dan rehat seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Justeru, kerajaan perlu lebih tegas dalam aspek pemantauan, termasuk mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pengesan keletihan dalam kenderaan awam, di samping mempertimbangkan semakan semula terhadap jadual perjalanan malam.
Kesimpulannya, kemalangan melibatkan bas dan lori adalah petunjuk jelas bahawa sistem pengangkutan negara memerlukan reformasi menyeluruh yang melibatkan semua pihak demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.