GENTING GAZA - Namanya jarang disebut secara terbuka, wajahnya kurang dikenali, namun peranannya amat besar. Mohammed Sinwar, adik kepada pemimpin kanan Hamas, Yahya Sinwar akhirnya dilaporkan syahid dalam operasi ketenteraan rejim Zionis di Gaza.
Berita tersebut didedahkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa sidang akhbar pada Rabu.
Beliau menjadi sasaran serangan Israel di sebuah hospital di selatan Gaza dan berkemungkinan terbunuh pada 21 Mei lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini Hamas masih belum mengesahkan kematian Mohammed.
Siapakah pahlawan Hamas ini?
Mohammed Sinwar menyertai Hamas sejak usia muda, sama seperti abangnya, Yahya. Namun, tidak seperti Yahya yang menjadi wajah utama pergerakan itu dan menghabiskan lebih 20 tahun di penjara Israel, Mohammed bergerak secara senyap dan terselindung.
Disebabkan itu, beliau digelar ‘bayang’ oleh pasukan risikan Israel, sukar dikesan, tidak dikenali umum dan tidak muncul walaupun semasa pengebumian bapanya demi menyembunyikan identiti.
Pihak berkuasa Israel menyifatkan beliau sebagai lebih tegas dan tidak kompromi berbanding Yahya, menjadikan beliau sasaran paling dikehendaki sejak kebelakangan ini.
Beberapa percubaan membunuhnya dilaporkan telah gagal sejak 2021.
Selepas Yahya terbunuh dalam serangan Israel di Rafah pada Oktober 2024, Mohammed dikatakan telah mengambil alih komando ketenteraan di Gaza.
Beliau bersama Izz al-Din Haddad, ketua tentera Hamas di utara Gaza memimpin baki pasukan bersenjata yang masih tinggal.
Menurut laporan Wall Street Journal, dalam tempoh tujuh bulan selepas kematian abangnya, Mohammed berjaya menjalankan beberapa operasi kecil dan merekrut anggota-anggota baharu di sebalik kemusnahan besar yang dialami Hamas.
Pemerhati keselamatan Israel mengakui Hamas berupaya bangkit semula pada kadar lebih pantas meskipun cuba dimusnahkan oleh tentera Israel.
Latar belakang, penglibatan awal
Mohammed dilahirkan pada 16 September 1975 di Khan Yunis, selatan Genting Gaza dalam sebuah keluarga yang kemudiannya menjadi antara tunjang utama gerakan Hamas.
Keluarga beliau berasal dari Asqalan, kini bandar Ashkelon di Israel dan menjadi pelarian seperti ratusan ribu rakyat Palestin lain dalam apa yang mereka panggil Nakba (malapetaka) semasa penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.
Mohammed mendapat pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh agensi bantuan Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) yang sekian lama mempunyai hubungan tegang dengan Israel.
Beliau menyertai Hamas sejurus selepas penubuhannya, dipengaruhi oleh Yahya yang merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, gerakan paling berpengaruh di Asia Barat sejak beberapa dekad lalu.
Reputasinya sebagai seorang yang tegar membantunya naik ke peringkat tentera kumpulan berkenaan dan dilantik untuk mengetuai Briged Hamas di Khan Yunis pada 2005.
Unit tersebut merupakan salah satu batalion terbesar dan paling berkuasa dalam sayap bersenjata Hamas yang bertanggungjawab melancarkan serangan balas ke atas provokasi Zionis di sepanjang sempadan.
Ia juga menjalankan pengintipan terhadap pergerakan askar Israel.
Pada 2006, komando elit yang diketuai Mohammed terlibat dalam operasi di sempadan yang menawan askar Israel, Gilad Shalit.
Sumber yang rapat dengan Hamas berkata, Mohammed menjalin hubungan rapat dengan Timbalan Komander Sayap Tentera Hamas, Marwan Issa dan Ketua sayap tentera, Mohammed Deif yang turut gugur syahid dalam kempen pengeboman ganas yang tercetus sejak Oktober 2023.
Hubungan rapatnya dengan bekas Mohammed Deif banyak mempengaruhi pelan operasi beliau yang bersifat rahsia dan taktikal.
Beliau pernah dipenjarakan selama sembilan bulan oleh Israel pada 1990-an dan kemudian ditahan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah sebelum melarikan diri pada tahun 2000.
Kehilangan besar buat Hamas
Kematian Mohammed mencetuskan kekosongan besar dalam struktur Hamas, khususnya di Gaza.
Izz al-Din Haddad dijangka mengambil alih peranan beliau untuk menerajui Hamas.
Penganalisis ketenteraan pula menyatakan, Sinwar bersaudara bukan sekadar pemimpin yang memperjuangkan bumi Gaza.
Mereka lambang keberanian dan perjuangan besar menentang kezaliman Israel. - Agensi