SHAH ALAM - Seorang anak terkejut apabila kereta bapanya tiba-tiba mengeluarkan bunyi seperti pengumuman dalam kapal terbang sebaik sahaja enjin dihidupkan.
Kejadian berlaku pada pagi Jumaat lalu, kira-kira jam 9 pagi ketika Nurul Atiqah Hanun Safiee, 25, diminta mengalihkan kenderaan utiliti sukan (SUV) milik bapanya yang diletakkan di bawah pokok.
"Masa itu, kakak suruh saya pergi tengok ‘radio baharu’ ayah, kemudian saya pergi dan tekan butang hidupkan enjin, tiba-tiba keluar suara lelaki cakap dalam bahasa Melayu sedang buat pengumuman.
"Suruh pakai tali pinggang keledar dan baca doa naik kenderaan...saya terkejut. Reaksi saya macam dalam video, sangat jujur,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, itu kali pertama dia mendengar bunyi tersebut kerana sistem suara itu baru sahaja dipasang malam sebelumnya.
Katanya, kereta tersebut asalnya menggunakan suara bahasa Jepun, namun bapanya menggantikan dengan suara berbahasa Melayu yang lebih mudah difahami.
"Yang Jepun tu langsung tak faham, ayah saya pun tak tahu nak tukar macam mana. Dia tak reti guna alat terjemahan yang pakai kamera itu, selama ini kami anak-anak yang bantu,” ujarnya.
Nurul Atiqah Hanun yang menetap di Rawang, Selangor, berkata, dia tidak mengetahui secara teknikal sistem yang digunakan, namun difahamkan ia dipasang melalui perisian tertentu dalam kereta.
"Ayah saya cuma cakap dia ubah dekat bahagian software dan sambung ke butang buka-tutup kereta. Saya pun tak pasti, tapi bila hidupkan kereta memang automatik bunyi itu keluar sampai habis,” jelasnya.
Katanya, dia sempat merakam reaksi mukanya kerana benar-benar terkejut dengan pengumuman panjang yang kedengaran seakan di dalam pesawat atau Transit Aliran Massa (MRT).
"Macam saya cakap tadi, reaksi saya sangat jujur sebab itu kali pertama saya dengar dan ia sangat lawak.
"Lagi-lagi ada bunyi ‘teng-teng-teng’, saya terus cakap ‘ALLAH, betul macam MRT dengan kapal terbang,” kata Nurul Atiqah Hanun berseloroh.
Tambah wanita itu, kakaknya sudah mendengar sistem berkenaan lebih awal dan beria-ia menyuruhnya masuk ke dalam kereta untuk merasai sendiri pengalaman tersebut.
"Malam sebelum tu kakak saya kata, ‘angah, hang kena dengar sendiri, ayah buat benda pelik-pelik’.
"Tapi saya dah mengantuk sangat malam tu, tak sempat pun nak ambil tahu, tapi bila sudah dengar rupanya lebih kurang dua ke tiga minit jugalah pengumuman itu,” ujarnya.
Ulas Nurul Atiqah Hanun, keluarga juga tidak menyangka kereta bapanya akan ‘bercakap’ sebegitu rupa.
"Kami semua gelak... terkejut dan rasa macam lawak sangat,” jelasnya sambil ketawa.
Ujarnya lagi, meskipun bunyinya lucu, dia menyedari sistem tersebut turut membawa mesej yang bermanfaat.
"Sebenarnya elok juga sebab ayah saya jenis terus jalan lepas enjin dihidupkan. Bila ada bunyi tu, sekurang-kurangnya dia akan tenang sebentar, baca doa dan pakai tali pinggang,” katanya.