JOHOR BAHRU - Peniaga di sekitar Jalan Perwira 3 dan Jalan Bentara 1, Taman Ungku Tun Aminah, meluahkan kebimbangan terhadap kelangsungan perniagaan mereka yang kian terjejas akibat kekurangan pelanggan gara-gara masalah kekangan parkir.
Masalah itu timbul apabila kebanyakan lot parkir di kawasan terbabit dipenuhi kenderaan milik individu yang bekerja di Singapura, menjadikan lokasi itu sebagai tempat parkir harian sebelum menaiki bas ke negara jiran.
Tinjauan mendapati, keadaan itu menyebabkan pelanggan sukar mendapatkan tempat parkir, malah ada yang terus meninggalkan kawasan perniagaan tersebut tanpa membeli apa-apa.
Peniaga alat ganti kenderaan, Thomas Diong, 65, berkata, dia terpaksa meletakkan kenderaan di lokasi jauh hanya untuk memulakan operasi harian.
"Saya buka kedai jam 9.30 pagi, tapi parkir sudah penuh sejak 6 pagi lagi. Susah bila nak angkut barang dari jauh. Hari Ahad pun sama, kereta penuh depan kedai, tapi tiada pelanggan,” katanya
Masalah sama turut dikongsi Edwin Soh, 44, yang sering berkunjung ke kawasan tersebut bagi membeli barangan, terutamanya alat ganti kereta.
Edwin yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, kekurangan lot parkir menyebabkan ada pelanggan memilih untuk terus pulang selepas gagal menemui ruang kosong untuk meletakkan kenderaan.
"Kena pusing dua tiga kali, kadang-kadang terus balik sebab susah sangat nak parkir. Kereta penuh tapi kedai kosong.
"Kita berniaga nak orang datang, tapi kalau tempat letak kereta pun susah, siapa nak datang?” katanya.
Bagi peniaga kedai ubat, Soo Yong, 74, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu yang menyalahgunakan kemudahan parkir awam untuk tujuan jangka panjang.
Tambahnya, aduan juga telah beberapa kali dibuat kepada wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan, namun tiada tindakan berkesan diambil.
"Ini tempat perniagaan, bukan parkir transit nak ke Singapura. Kalau pelanggan pun tak boleh nak berhenti, macam mana kita nak berniaga?
"Pekerja kilang atau yang kerja Singapura ini parkir satu hari, kemudian naik bas. Peniaga kena tanggung akibatnya,” katanya.
Sementara itu, bagi jemaah Masjid Khadijah, Hasbillah Sairee, 48, masalah parkir turut mengganggu kelancaran trafik, terutamanya pada waktu solat Jumaat.
Katanya, keadaan menjadi bertambah padat dengan kehadiran kenderaan orang ramai yang mahu menunaikan solat hingga terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sesuai kerana kekurangan lot parkir.
"Memang agak penuh di sini pada waktu solat Jumaat, di sekitar Jalan Perwira 8, Jalan Perwira 3 dan kawasan lain yang sudah dipenuhi kereta pekerja dari Singapura.
"Mereka ini parkir bukan sejam dua, tetapi untuk tempoh yang lama. Bila mereka balik kerja, satu kumpulan pula datang parkir di sini, terutamanya yang bekerja syif malam.
"Jadi boleh kata 24 jam parkir di sini sentiasa penuh dengan kereta mereka, yang kasihan adalah para peniaga kerana kurang pelanggan. Bagi saya, memang perlu ada tindakan untuk tangani masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim memaklumkan, isu itu sudah dibawa ke pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan beberapa cadangan seperti pelaksanaan Zon Parkir Dua Jam, pembinaan parkir khas untuk pekerja berulang-alik ke Singapura dan penambahbaikan sistem pengangkutan awam.
"Ini isu lama yang menghantui penduduk dan peniaga. Diharap pihak berkuasa ambil serius kerana ia beri kesan langsung kepada ekonomi tempatan,” katanya.