KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak teguh pendirian dalam politik.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perubahan haluan secara drastik dalam masa singkat boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan mencetus persoalan tentang prinsip sebenar seseorang pemimpin.
"Apabila seseorang sering berubah pendirian, susah untuk kita faham ke mana haluannya. Dulu beliau bersama kerajaan lepas, sekarang pula ke PKR.
"Saya tak tahu sama ada langkah itu berkait dengan kedudukan beliau dalam kerajaan atau sebab lain tapi rakyat boleh menilai,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini, pada Ahad.
Tengku Zafrul juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini dilantik sebagai Senator dan calon BN di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH).
Tengku Zafrul pernah dikaitkan akan menyertai PN selepas dilihat hadir dalam beberapa majlis melibatkan pimpinan gabungan itu, termasuk bersama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun perkembangan mutakhir menunjukkan arah bertentangan, apabila wujud laporan menyatakan beliau akan menyertai PKR.
Takiyuddin berkata, perubahan-perubahan ini mencerminkan bagaimana landskap politik Malaysia pasca-PRU15 semakin sukar diramal dan mendedahkan kepentingan mempertahankan prinsip dalam berpolitik.
"Kami dalam PN lebih gemar pemimpin yang jelas pendirian, bukannya sekejap di sini, sekejap di sana.
"Hal seperti ini menjejaskan keyakinan rakyat terhadap politik secara keseluruhan,” katanya lagi.
Terdahulu, laporan media menyebut kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR turut dikaitkan dengan usaha penyusunan semula posisi dalam Kerajaan Perpaduan menjelang tamatnya tempoh pelantikan beliau sebagai Senator Ogos ini.