KUALA LUMPUR - Enam premis kecantikan yang beroperasi di pusat membeli-belah di Bukit Bintang, di sini, diarah tutup serta-merta kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen serta dikendalikan oleh warga asing.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, tindakan yang diambil melalui operasi KL Strike Force itu susulan aduan diterima daripada orang ramai.
"Hasil risikan selama beberapa hari di sekitar lokasi yang telah dikenal pasti, maka satu operasi telah diatur bagi memastikan kelancaran tindakan.
"Hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak enam premis kecantikan telah dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah DBKL, sebanyak 13 notis tawaran kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 atas pelbagai kesalahan yang berjaya dikesan semasa pemeriksaan dijalankan.
"DBKL akan memastikan pematuhan semua pihak terhadap peraturan yang ditetapkan dan akan meneruskan tindakan serta pemantauan berterusan di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti demi menjaga ketenteraman awam dan kesejahteraan warga kota,” ujarnya.