KLANG - Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyelinap ke Pulau Ketam dengan menaiki bot penumpang gagal apabila mereka ditahan pihak berkuasa selepas dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Dua lelaki warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada Sabtu, semasa pemeriksaan dibuat di atas bot penumpang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-duanya ditahan dalam satu pemeriksaan rutin ke atas sebuah bot penumpang yang dalam perjalanan dari jeti awam Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam, jam 2.30 petang.
Beliau berkata, suspek yang berumur 42 dan 44 tahun telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah, manakala bot penumpang dilepaskan apabila selesai menjalani pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuai atau sengaja melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta membantu membanteras isu kebanjiran warga asing di negara ini dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, sebarang maklumat atau aduan kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.