Kes tembak ada kaitan dendam, kawalan ketat sempadan - Saifuddin Nasution

Iklan
Saifuddin Nasution

MACHANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, mempunyai kaitan dengan dendam serta kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, siasatan secara menyeluruh masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan masih berlangsung dan kita melihat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan termasuk migran serta dendam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Simpol Belubang di sini pada Sabtu.

Iklan

Saifuddin Nasution menyampaikan MyKad kepada penerima pada Program MEKAR JPN di Kampung Kampung Simpol Belubang, Machang pada Sabtu. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Menurut Saifuddin Nasution, KDN mahu melihat sama ada motif dendam itu berpunca daripada langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dilaksanakan di sempadan negara.

Iklan

Katanya, beliau sudah mendapatkan maklumat penuh berhubung perkara itu daripada Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.

Tambah beliau, insiden melepaskan tembakan itu merupakan antara risiko yang terpaksa dihadapi oleh anggota penguat kuasa.

"Macam Datuk Yusoff Mamat, Ketua Polis Kelantan, beliau tutup semua pangkalan haram, segala macam kena ugut. Di sana ditembak terus. Itu antara risiko yang perlu dihadapi," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan dua lagi individu disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembakan terhadap AKPS Bukit Kayu Hitam ditahan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, penahanan terbaharu membabitkan lelaki tempatan berusia 51 dan 58 tahun di sekitar kawasan ini, menjadikan sembilan individu ditahan setakat ini.

Terdahulu, kenderaan Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir, ditembak dengan dua das tembakan pada awal pagi Rabu.

Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada jam 5.40 pagi itu.

Tembakan dilakukan suspek tidak dikenali berpakaian serba hitam yang menaiki motosikal ketika Mohd Nasaruddin sedang memandu kenderaan menghala ke Masjid Al-Muhajirin untuk menunaikan solat Subuh.