GERGASI Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Allianz Arena, Munich pada Ahad.
Kemenangan Les Parisiens itu juga merupakan margin terbesar dalam perlawanan akhir kejohanan elit kelab Eropah itu sejak diperkenalkan pada tahun 1956.
Jaringan pembukaan Achraf Hakimi pada minit ke-12 menentang bekas kelabnya menjadi pembuka tirai kepada malam gemilang PSG.
Bintang muda berusia 19 tahun, Désiré Doué, kemudian menjaringkan dua gol untuk mengukuhkan cengkaman Les Parisiens ke atas perlawanan.
Doué turut mencipta sejarah selaku pemain remaja pertama menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir sejak legenda Benfica, Eusebio, melakukannya ketika menewaskan Real Madrid 5-3 pada tahun 1962.
Gol daripada pemain sayap Georgia, Khvicha Kvaratskhelia, dan jaringan penutup oleh pemain gantian, Senny Mayulu, mengesahkan kemenangan penuh bersejarah kelab Perancis itu, yang turut melengkapkan kejuaraan treble selepas menjuarai Ligue 1 dan Piala Perancis lebih awal musim ini.
Kejayaan PSG ini hadir selepas lebih sedekad usaha kelab milik Qatar tersebut melabur besar untuk memburu kejuaraan Eropah dengan membawa masuk bintang ternama dunia seperti Lionel Messi, Neymar, Zlatan Ibrahimovic dan Kylian Mbappé.
Namun, perubahan dasar pengurusan yang mula memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.
Malah, kejayaan ini diraih tanpa kelibat Mbappé, yang berhijrah ke Real Madrid musim panas lalu dengan impian menjuarai Liga Juara-Juara bersama kelab gergasi Sepanyol itu.
PSG kini menjadi kelab kedua dari Perancis yang berjaya menjulang Piala Eropah selepas Olympique Marseille melakukannya pada tahun 1993.
Kejayaan ini turut menambah koleksi kejuaraan peribadi buat pengendali mereka, Luis Enrique, yang sebelum ini pernah membawa Barcelona menjuarai kejohanan yang sama pada tahun 2015.
Selepas kekecewaan tewas kepada Bayern Munich pada final edisi 2020, skuad Enrique, yang hampir tersingkir di peringkat kumpulan musim ini, berjaya merealisasikan impian besar pemilik kelab dari Qatar untuk menjulang kejuaraan Eropah.