Langkah Tengku Zafrul, strategi peribadi atau taktik peralihan kuasa?

Iklan
Tengku Zafrul

PERKEMBANGAN terbaharu melibatkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berundur daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuka satu lagi lembaran menarik dalam landskap politik Kerajaan Perpaduan.

Langkah ini mula mencetuskan pelbagai tafsiran. Ada yang melihatnya sebagai strategi peribadi Tengku Zafrul untuk terus relevan dalam dunia politik.

Iklan
Iklan

Namun, ia juga boleh ditafsir sebagai isyarat perubahan imbangan kuasa dalam gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), terutama di Selangor.

Tengku Zafrul kini menyandang jawatan menteri atas kuota UMNO atau BN dalam Kabinet. Jika beliau bertukar parti tanpa meletakkan jawatan, ia menimbulkan persoalan dari segi moral politik, walaupun secara teknikal tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan menteri meletak jawatan apabila lompat parti terutamanya dalam sebuah kerajaan campuran seperti sekarang.

Iklan

Namun, implikasi moral dan persepsi awam boleh menjadi beban, terutama bagi Kerajaan Perpaduan yang cuba tampil bersih dan stabil.

Selepas Tengku Zafrul menyertai PKR, maka timbul pula persoalan lebih besar, adakah ini membuka jalan kepada beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor?

Iklan

Setakat ini, kerusi DUN tidak dimiliki beliau, syarat utama untuk memegang jawatan Menteri Besar. Maka, dua kemungkinan muncul, pertama, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi yang dikosongkan bagi memberi laluan kepada beliau bertanding.

Atau, kedua, gerakan dalam dalaman parti menukar kepimpinan negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), satu andaian yang masih jauh, tetapi tidak mustahil dalam politik Malaysia yang sarat kejutan.

Namun, di sinilah ia menjadi rumit, PKR mempunyai ramai pemimpin berpengaruh di Selangor termasuk Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Amirudin Shari yang mempunyai sokongan akar umbi dan rekod prestasi kukuh. Meletakkan 'orang luar' sebagai calon Menteri Besar boleh mencetuskan penolakan dari dalam parti sendiri.

Gabungan PH-BN dibina atas persefahaman dan kompromi pasca-PRU15. Namun, langkah individu seperti ini boleh menggugat kepercayaan antara komponen, terutama jika ia dilihat sebagai 'mencuri pemain' dari parti rakan.

UMNO sendiri kini berada dalam fasa pemulihan imej dan penyusunan semula. Jika pemimpin dilihat melompat ke parti lain, ia boleh menghakis moral akar umbi, apatah lagi jika ia berlaku dalam senyap.

Namun, dari sudut lain, ia juga boleh dilihat sebagai penyatuan naratif dalam Kerajaan Perpaduan dengan tokoh teknokrat seperti Tengku Zafrul menyesuaikan diri dalam struktur parti politik utama seperti PKR, jika proses ini dilakukan secara telus dan terancang.

Dalam politik Malaysia mutakhir, parti, prinsip dan kedudukan seringkali bersilang. Tengku Zafrul yang asalnya teknokrat, kini menempuh jalan politik sepenuhnya.

Jika beliau menyertai PKR tanpa meletakkan jawatan menteri, ia memberi mesej bahawa kesetiaan dalam era kerajaan campuran tidak lagi bersandar kepada parti semata-mata, tetapi kepada naratif nasional yang lebih besar.

Namun, jangan dilupakan, politik juga soal persepsi. Dalam politik Malaysia, persepsi itulah yang sering menentukan masa depan, bukan sekadar strategi di atas kertas.