'Rakyat jadi mangsa bila penguatkuasaan LPG komersil dilaksana' - Ka Siong

Iklan
Wee Ka Siong (kiri), Laporan Sinar Harian berhubung Presma rayu tempoh peralihan subsidi LPG

SHAH ALAM – Sebarang keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial ke atas peniaga premis makanan akhirnya akan memberi kesan domino kepada pengguna.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, premis makanan terlibat diwajibkan menggunakan tong gas komersial 14 kilogram yang bernilai RM70 bagi setiap tong, berbanding RM26 sebelum ini dengan kenaikan sebanyak 170 peratus.

Iklan
Iklan

"Nak masak, kena pakai api. Nak hidupkan api, kena pakai gas. Bila harga gas naik, harga nasi, harga mi dan makanan lain pun naik jugalah,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Sabtu.

Terdahulu, pelaksanaan wajib penggunaan gas LPG komersial 14 kilogram telah dikuatkuasakan ke atas premis makanan bermula 1 Mei lalu.

Iklan

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa hanya premis berskala besar seperti hotel, restoran besar dan dapur industri yang menggunakan lebih tiga tong LPG dalam satu masa diwajibkan beralih kepada LPG komersial.

Ka Siong berpandangan bahawa kos pembuatan dan kos jualan adalah saling berkait rapat, seumpama isi dengan kuku atau api dengan asap.

Iklan

Justeru, beliau mempersoalkan siapakah yang akhirnya akan menanggung kesan kenaikan harga tong gas LPG komersial tersebut.

"Siapa yang kena bayar lebih? Jawapannya sudah tentulah rakyat selaku pengguna,” ujarnya lagi.

Ka Siong turut menyentuh isu peniaga yang kini diarahkan memohon permit sekiranya menggunakan lebih daripada tiga tong sebulan, iaitu melebihi 42 kilogram (kg).

"Jika tiada permit, mereka akan dikenakan tindakan. Barang dan premis mereka disita melalui Ops Gasak,” katanya.

Menurut beliau, para peniaga terbabit bukan berniaga untuk menjadi kaya raya tetapi sekadar mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

Justeru, Ka Siong berpandangan bahawa kerajaan tidak seharusnya terlalu berkeras terhadap mereka.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mampu menyediakan subsidi kepada peniaga kecil sedangkan Malaysia merupakan pengeksport gas asli cecair (LPG) kelima terbesar di dunia.

"Apa guna berbilion-bilion pelaburan masuk jika tidak mampu menampung subsidi gas yang dikatakan mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024?

"Apa guna menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus jika hasil kutipan tidak dikembalikan semula kepada rakyat melalui pemberian subsidi?” soalnya lagi.