Ibu hamil menang EV sempena ulang tahun kesembilan Aman Central

Iklan
Chia Zhen (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kereta elektrik (EV) MG4 kepada pemenang hadiah utama, Ng Yik Chin (tiga, kanan) di Aman Central.

ALOR SETAR - Impian untuk memenangi hadiah sebuah kereta menjadi kenyataan apabila Ng Yik Chin, 33, diumumkan sebagai pemenang utama kempen ‘9th Amazing Years’ anjuran Aman Central di sini pada Jumaat.

Itulah rezeki luar biasa dinikmati ibu hamil anak ketiga ini apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta elektrik (EV) MG4 bernilai RM112,000.

Iklan
Iklan

Yik Chin merupakan pengunjung setia Aman Central dan sudah beberapa tahun menyertai kempen tahunan pusat beli-belah tersebut.

"Saya memang impikan menang kereta tahun ini, tapi tak sangka impian itu jadi kenyataan, Saya sangat gembira dan terkejut,” katanya yang merupakan pengurus di sebuah kedai pajak gadai di Alor Setar.

Iklan

Ibu kepada dua cahaya mata itu menyifatkan kemenangan ini sebagai tuah anak di dalam kandungannya.

"Hadiah berganda tahun ini, dapat bayi dan kereta sekali,” katanya yang menghantar empat borang penyertaan dengan nilai keseluruhan pembelian melebihi RM2,000.

Iklan

Yik Chin bercadang menggunakan kereta baharunya itu sebagai kenderaan peribadi untuk urusan harian dan santai kerana sudah memiliki sebuah kereta berkonsepkan keluarga.

"Saya memang suka beli-belah di Aman Central. Setiap tahun masuk peraduan dan ini kali pertama layak ke pusingan akhir, akhirnya saya menang besar,” katanya.

Sementara, Penolong Pengurus Besar Aman Central, Ken Chin berkata, sambutan ulang tahun kali ini bukan sahaja meraikan kejayaan sembilan tahun Aman Central, malah sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung, penyewa dan rakan niaga.

"Aman Central terus menjadi mercu tanda gaya hidup dan destinasi beli-belah utama di Kedah. Ia menyumbang kepada peningkatan pelancongan domestik dengan jumlah kehadiran jutaan pengunjung setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, kempen yang berlangsung selama empat bulan bermula 25 Oktober 2024 hingga 28 Februari 2025 itu menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk MG4 berwarna merah yang merupakan EV pertama ditawarkan dengan kerjasama Auto Gallery Cartrade Sdn Bhd.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO, Wong Chia Zhen.

Hadir sama, Pengarah Kumpulan Belleview, Grace Ho; Penolong Pengurus Besar Penyewaan Belleview Group, Brian Ho serta Pengurus Operasi Aman Central, Gan Poh Hin.

Detik mendebarkan apabila dua finalis terakhir dipanggil ke pentas bagi merebut hadiah utama dengan memilih empat kunci kereta dipamerkan.

Bagaimanapun hanya satu kunci yang akan menentukan siapakah akan bergelar pemenang pertandingan.

Finalis yang berjaya menghidupkan kereta MG4 secara rasminya membawa pulang hadiah utama itu.

Sebanyak 80 hadiah ditawarkan kepada pemenang bertuah yang dipilih secara cabutan berturutan menggunakan mesin 'egg twister'.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk tilam Goodnite Signature Love Series IV bernilai RM5,999, produk Watsons bernilai RM5,000, baucar tunai Puma bernilai RM5,000, serta bekalan beras perang Eco Brown’s selama setahun.

Turut diraikan tiga pengunjung berbelanja tertinggi menerima hadiah bernilai RM4,378 dari kristal Swarovski.