KULAI – Pengenalan inisiatif Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) dilihat bakal memberi rebat kewangan bagi penganjuran konsert atau acara berskala besar dan berimpak tinggi di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, inisiatif baharu itu bukan sahaja merangkumi penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa, malah turut melibatkan penggiat seni tempatan khususnya bagi program berskala besar dalam negara.
"Sebanyak RM10 juta diperuntukkan setahun bagi inisiatif ini dan permohonan telah dibuka sejak 15 Mei lalu hingga 10 Julai depan.
"Program ini akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan daripada Kementerian Komunikasi yang memberi tumpuan kepada penganjuran konsert melibatkan artis tempatan dan antarabangsa serta acara berimpak tinggi dengan kapasiti melebihi 15,000 penonton.
"Inilah inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan lagi industri seni tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2024 Peringkat Parlimen Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipatuhi oleh penganjur bagi melayakkan mereka mendapatkan insentif tersebut antaranya ialah pengalaman menganjurkan acara berskala besar berkapasiti sekurang-kurangnya 15,000 orang dalam tempoh tiga tahun dari tarikh permohonan.
"Bagi pembiayaan melibatkan artis antarabangsa, penganjur perlu membelanjakan minimum 20 peratus daripada jumlah Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) dengan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia untuk melayakkan mereka menerima 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1.5 juta bergantung kepada mana yang lebih rendah.
"Bagi pembiayaan artis tempatan pula, penyaluran rebat adalah sama, namun penganjur perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah QMCES di Malaysia untuk melayakkan mereka mendapat rebat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1 juta, mana-mana yang lebih rendah.
"Rebat ini akan disalurkan sepenuhnya selepas projek selesai dan laporan akhir diluluskan,” jelasnya.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sebanyak 107,687 kandungan berunsur penipuan atau scam telah diturunkan oleh penyedia platform atas permintaan kementeriannya dari Januari hingga 15 April lalu.
Beliau berkata, antara kandungan yang paling banyak diturunkan adalah berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan kewangan.
"Setakat 15 April lalu, jumlah kandungan yang diturunkan oleh penyedia platform atas permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ialah 107,687. Daripada jumlah itu, sebanyak 57,669 berunsurkan perjudian dan 30,427 berkaitan penipuan atau scam,” katanya.
"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan kandungan atau iklan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” tegasnya.