Rolls-Royce Cullinan antara hadiah pertabalan diterima Raja Charles

Iklan
Istana dedah senarai hadiah rasmi diterima Raja Charles dan kerabat diraja, termasuk sebuah Rolls-Royce Cullinan daripada Raja Bahrain.

LONDON - Sebuah kereta Rolls-Royce, lencana Blue Peter dan mahkota bulu merupakan antara hadiah rasmi yang diterima Raja Britain, Charles III sepanjang tahun pertama pemerintahan baginda, menurut senarai yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham.

Senarai berkenaan merangkumi pelbagai hadiah rasmi yang diterima oleh kerabat diraja dari 2020 hingga 2023, termasuk mendiang Ratu Elizabeth II, Raja Charles dan Permaisuri Camilla, Putera William dan Puteri Kate, Putera Edward dan Puteri Sophie, Puteri Anne serta sepupu Elizabeth - Duke Gloucester dan isterinya - serta Duke Kent.

Iklan
Iklan

Hadiah-hadiah rasmi itu diterima daripada ketua negara, pertubuhan penaung serta pelbagai organisasi yang mempunyai hubungan rasmi dengan institusi diraja, termasuk semasa lawatan rasmi.

Ia meliputi pelbagai bentuk pemberian daripada set kelengkapan diri, botol minuman, butang lengan baju, hingga ke kenderaan mewah.

Iklan

Antara yang menarik perhatian ialah hadiah pertabalan berupa sebuah kereta Rolls-Royce Cullinan Series II daripada Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa pada Mei 2023.

Kenderaan itu bukan untuk kegunaan peribadi baginda, sebaliknya dikhaskan bagi urusan rasmi dan majlis kenegaraan.

Iklan

Pada bulan yang sama, Raja Charles turut berkenan menerima mahkota bulu, dua perhiasan dada bermanik dan dua tongkat ukiran daripada pemimpin masyarakat Orang Asli Amazon, Uyunkar Domingo Peas Nampichkai dan Atossa Soltani.

Sebulan sebelumnya, baginda dan Permaisuri Camilla masing-masing menerima lencana emas Blue Peter yang disampaikan oleh pengacara rancangan itu semasa lawatan 'pra-Eurovision' ke Liverpool.

Sebagai hadiah pertabalan, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Joe Biden dan Wanita Pertama Jill Biden menghadiahkan satu folder kulit yang mengandungi cetakan surat-menyurat antara mendiang Ratu Elizabeth II dan Presiden Dwight D Eisenhower, termasuk jemputan rasmi ke United Kingdom serta sekeping gambar kenangan lawatan bersejarah itu.

Sepanjang tahun 2023, baginda juga menerima satu set teh daripada Smythson of Bond Street dan satu set peralatan makan daripada Duta Filipina, Teodoro Lopez Locsin Jr.

Menurut peraturan istana, hadiah rasmi boleh digunakan oleh kerabat diraja tetapi bukan sebagai harta peribadi mereka.

Mereka tidak dikenakan cukai atas hadiah-hadiah itu.

Makanan yang diterima boleh dimakan, manakala hadiah mudah rosak bernilai kurang £150 (AS$202) boleh disumbangkan kepada badan amal atau diberikan kepada kakitangan.

Namun begitu, semua hadiah tidak boleh dijual atau ditukar dan akhirnya akan menjadi sebahagian daripada Koleksi Diraja yang disimpan secara amanah untuk kegunaan generasi akan datang serta untuk kepentingan negara.

Peraturan berkenaan diperketatkan susulan Siasatan Peat pada 2003 berhubung isu penjualan hadiah diraja dan pengurusan Istana St James.

Siasatan itu diketuai oleh Setiausaha Sulit Raja ketika itu, Michael Peat.

Pembantu kanan baginda ketika itu, Michael Fawcett - yang juga bekas pelayan peribadi - didakwa menjual hadiah diraja yang tidak diingini dan mengambil sebahagian hasil jualan.

Bagaimanapun, siasatan dalaman membersihkan namanya daripada sebarang salah laku kewangan. - Bernama-PA Media/dpa