SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan, hubungan dan kepentingan dengan MBI International Group (MBI) serta individu yang terlibat dalam siasatan kes penipuan pelaburan.
MBI Selangor memaklumkan, pihaknya memandang serius kemungkinan kekeliruan awam yang timbul susulan persamaan nama antara kedua-dua entiti tersebut.
"MBI Selangor merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor yang ditubuhkan untuk memacu pembangunan strategik, pelaburan dan pengurusan aset negeri selaras dengan aspirasi pembangunan mampan dan kemakmuran rakyat Selangor.
"Justeru, kami menyeru orang awam agar berhati-hati dan tidak terkeliru dengan entiti yang tiada kaitan dengan operasi rasmi Kerajaan Selangor.
"Sebarang maklumat lanjut mengenai MBI Selangor boleh diperoleh melalui laman web rasmi kami di www.mbiselangor.com atau saluran komunikasi rasmi yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini dilaporkan, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri antara tiga individu yang ditahan baru-baru ini selepas dipercayai terlibat dalam skim penipuan pelaburan membabitkan MBI.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tiga suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia antara 46 hingga 58 tahun itu ditahan dalam serbuan menerusi Op Northern Star yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang antara 1 hingga 17 Mei lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa pihaknya telah menahan lapan individu dan merampas aset bernilai RM3.17 bilion pada 11 April lalu hasil maklumat daripada Notis Merah Interpol.
Pada 22 April lalu, Muhammed Hasbullah memaklumkan beberapa lagi individu termasuk ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ turut ditahan di Lembah Klang serta utara tanah air dengan nilai pembekuan aset sebanyak RM3.51 bilion.