Kematian Syamsul Haris: Tiga jurulatih Palapes dituduh di mahkamah hari ini

Iklan
Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

SHAH ALAM - Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor pada Jumaat, berkenaan kematian pelatih Palapes, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pertuduhan pada jam 9 pagi dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

"Hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan ini ialah pemenjaraan yang boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Iklan

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini memandangkan prosedur pertuduhan serta perbicaraan jenayah akan dimulakan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak polis telah menerima semula kertas siasatan daripada Jabatan Peguam Negara pada 24 Februari lalu melibatkan kes ini yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.

Iklan

Tambahnya, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk pertuduhan ke atas tiga jurulatih Palapes terbabit.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram.

Jenazah Syamsul Haris dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.