ALOR SETAR – Tindakan memadam mural wajah Tun Dr Mahathir Mohamad di Medan Seni tidak mempunyai kaitan dengan unsur politik, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kerja baik pulih struktur bangunan.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pemilik bangunan terbabit telah memperoleh kebenaran sah untuk menjalankan pengubahsuaian, termasuk membaik pulih dinding yang sebelum ini menempatkan mural berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur tidak baik mahupun mana-mana agenda politik.
"Dinding tersebut berada dalam keadaan lusuh dan mengalami pengelupasan cat yang ketara. Demi keselamatan serta aspek estetik, pemilik mengambil inisiatif mengecat semula keseluruhan permukaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Abdul Gafar berkata, segala keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dan garis panduan sedia ada bagi memastikan karya-karya sebegini dapat dipelihara sebaiknya.
"Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menjejaskan keharmonian masyarakat,” tambah beliau.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kehilangan mural tersebut yang dilukis pada tahun 2015. Ia dimuat naik ke halaman Facebook ‘Alor Setar Kita’ dan mencetuskan persoalan berikutan tiada pihak membuat kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Abdul Gafar memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Kedah Tourism mengambil serius nilai seni dan penghargaan kepada tokoh negara seperti Tun Dr Mahathir.
"Usaha sedang digerakkan untuk mewujudkan semula mural tersebut sama ada dalam bentuk lukisan baharu atau mengekalkan elemen asal di lokasi yang lebih bersesuaian,” jelas beliau.
Menurutnya, MBAS juga akan memperkenalkan garis panduan serta syarat tambahan khusus berkaitan karya mural pada bangunan persendirian, termasuk keperluan mendapatkan surat persetujuan pemilik, pelan lakaran yang perlu diluluskan majlis, serta syarat penyelenggaraan secara berkala.
"Langkah ini penting untuk memastikan setiap hasil seni awam di bandar raya Alor Setar dipelihara sebaiknya dan memberikan nilai tambah kepada lanskap bandar serta pembangunan pelancongan budaya dan warisan negeri,” ujarnya.
Tambah Abdul Gafar, MBAS turut merakamkan penghargaan terhadap pandangan serta keprihatinan pelbagai pihak, sambil berharap komuniti seni dan pemilik bangunan dapat terus bekerjasama dalam menjayakan usaha memperindah bandar raya ini.