'Kami sepatutnya pasang pelamin hari ini'
Iklan
Siti Zubaidah menunjukkan kad jemputan menyambut menantu di sebelah keluarganya.
KOTA BHARU -"Kami sepatutnya memasang pelamin hari ini untuk majlis menyambut menantu esok (Ahad) tetapi dibatalkan kerana tragedi yang berlaku."
Demikian kata Siti Zubaidah Abdul Rahim, 37, adik kepada Nurul Ain Abdul Rahim, 39, yang menjadi mangsa kemalangan maut di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai pada Jumaat.
Iklan
Iklan
Katanya, mereka sekeluarga berbincang untuk membeli semua kelengkapan pelamin adik lelaki tunggalnya, Mohd Syafiq Abdul Rahim, 24, pada Sabtu namun ditukar kepada majlis ringkas dan doa selamat selepas kejadian meragut nyawa tiga ahli keluargannya itu.
Dalam kejadian pada Jumaat, Nurul Ain bersama anak tunggalnya Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, dan menantu Mohamad Faris Kamaludin, 24, maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres kira-kira jam 11.20 pagi.
Iklan
Ketika kejadian pada Jumaat itu, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Johor membawa lima dulang hantaran perkahwinan Mohd Syafiq yang digubah oleh Nur Atikah Najihah.
Siti Zubaidah memberitahu, Mohd Syafiq, sudah selesai melaksanakan majlis akad nikahnya di Kampung Bechah Pisang, Besut kira-kira jam 9 pagi tadi (Sabtu) dan akan pulang untuk menghadiri pengebumian jenazah Nurul Ain.
Iklan
Katanya, perkahwinan Mohd Syafiq diteruskan tetapi hanya ditemani beberapa rakan serta adik bongsu mereka, Siti Zulaika Abdul Rahim, 21.
"Kami merancang pergi dengan tiga buah kereta untuk menghadiri majlis akad nikah Mohd Syafiq namun sudah takdir ALLAH SWT," katanya.
Jelasnya lagi, sebelum ini keluarga menjemput kira-kira 200 tetamu tetapi dikecilkan kepada 100 sahaja sebagai menghormati kedua-dua belah pihak.
Sementara itu Siti Zubaidah berkata, jenazah Nurul Ain dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jambu Merah di sini selepas solat Zohor.
<div itemscope itemtype="https://schema.org/VideoObject"><meta itemprop="name" content="Buang peti suara demi nyawa, alat pembesar suara kini 'teman' setia Tanpa rasa sakit dan hanya bermula dengan suara yang makin perlahan, seorang pesara akhirnya disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat sehingga terpaksa membuang peti suara, lapor war"><meta itemprop="description" content="Buang peti suara demi nyawa, alat pembesar suara kini 'teman' setia
Tanpa rasa sakit dan hanya bermula dengan suara yang makin perlahan, seorang pesara akhirnya disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat sehingga terpaksa membuang peti suara, lapor wartawan Sinar Harian, Adilla Sharinni Wahid.
Keadaan itu menyebabkan Ismail Mamud, 68, kini bergantung sepenuhnya kepada alat pembesar suara untuk bercakap.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/768859/edisi/kelantan/buang-peti-suara-demi-nyawa-alat-pembesar-suara-kini-teman-setia
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.
#SinarHarian #BeritaSemasa #buangpetisuarademinyawa #kansertiroid #bekaspesakitkanser"><meta itemprop="uploadDate" content="2026-02-21T06:53:07.000Z"><meta itemprop="thumbnailUrl" content="https://s2.dmcdn.net/v/a5diq1fcLPJCxeVhf/x120"><meta itemprop="duration" content="P89S"><meta itemprop="embedUrl" content="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.html?video=xa0gylw"><script src="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.js" data-video="xa0gylw"></script>