KEMAJUAN teknologi semakin meresap ke dalam pelbagai sektor termasuk bidang agama.
Dalam usaha menjadikan ilmu Islam lebih mudah diakses, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) mula diteroka secara aktif oleh tokoh agama sendiri.
Langkah ini dapat dilihat sebagai satu bentuk transformasi digital dalam institusi keagamaan, seiring perubahan zaman dan keperluan masyarakat yang mahukan maklumat pantas serta tepat.
Terkini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memperkenalkan dua watak digital baharu yang berperanan sebagai Pegawai Pintar Syariah (PPS) di bawah platform Maktabah Al-Bakri.
Zulkifli berkata, kedua-dua pembantu AI itu dinamakan AI Dr Munir dan AI Dr Munirah.
Watak ini dibangunkan hasil kerjasama Maktabah Al-Bakri, ChatGPT Plus dan Hedra Studio, yang mampu menjawab lebih 9,000 persoalan berkaitan hukum semasa.
Pelancaran tersebut mencerminkan langkah berani golongan agamawan meneroka potensi teknologi dalam menyampaikan ilmu secara lebih interaktif, fleksibel dan bersesuaian dengan gaya hidup moden.
Dengan wajah mesra, suara tersusun dan rujukan berpandukan pandangan Zulkifli sendiri, watak ini berperanan sebagai pembantu maya dalam menyebarkan ilmu Islam.
Ia juga membantu menangani cabaran semasa di mana masyarakat kini lebih cenderung mencari maklumat melalui platform digital.
Namun, penggunaan AI dalam konteks agama bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.
Disebabkan agama adalah perkara yang sangat sensitif, sebarang maklumat yang disampaikan oleh AI perlu disemak dan dikawal dengan teliti.
Kegagalan menyelia kandungan AI boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham terhadap hukum agama dalam kalangan masyarakat awam.
Justeru, kerajaan perlu tampil mewujudkan satu garis panduan ketat bagi pembangunan AI yang berlandaskan prinsip syariah secara menyeluruh.
Pihak berkuasa agama juga digesa terlibat secara langsung dalam memantau dan menilai ketepatan maklumat yang disampaikan oleh sistem seperti ini.
Transformasi digital dalam bidang agama perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab menjaga kesucian dan ketepatan ilmu yang disampaikan.
Jika dilakukan dengan berhati-hati dan penuh hikmah, teknologi seperti AI ini boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ilmu Islam yang lebih menyeluruh dan mesra masyarakat masa kini.