ASEAN-GCC-China: Dunia baharu penuh potensi?

Iklan
ASEAN boleh berperanan sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Asia Timur.

SAYA yakin generasi akan datang menganggap Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China pada 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai titik tolak perubahan bersejarah.

Iklan
Iklan

Disebabkan oleh perang perdagangan dan perpecahan geopolitik semasa, ramai menganggap Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan ini sebagai pemangkin perubahan dalam perhimpunan ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan seperti Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 turut mencatatkan sejarah dalam memajukan agenda ASEAN.

Iklan

Malaysia berbangga bukan sahaja kerana berjaya anjur sidang ini, tetapi kerana dapat merapatkan pemikiran pihak-pihak yang kini muncul sebagai suara utama dari selatan global yang sedang bangkit semula, khususnya melalui kejayaan mengeluarkan kenyataan bersama – yang lazimnya merupakan paling sukar dalam mana-mana pertemuan pelbagai hala.

Kenyataan bersama menyatakan pemimpin ASEAN-GCC-China sebulat suara mengecam kekejaman berterusan terhadap penduduk Gaza dan menyeru kepada gencatan senjata, sejajar dengan sentimen semua masyarakat yang waras dan berperikemanusiaan di seluruh dunia.

Iklan

Integrasi ekonomi tiga hala

Melangkaui aspek politik, integrasi ekonomi tiga hala lebih mendalam adalah sesuatu yang amat wajar dilaksanakan. Sebagai konteks, angka gabungan ASEAN, GCC dan China cukup menggambarkan potensinya: 2.15 bilion penduduk (atau lebih satu per empat daripada jumlah penduduk dunia) dan KDNK kolektif berjumlah hampir AS$25 trilion.

Dari segi pelaburan langsung asing (FDI), angkanya juga memberangsangkan: Pada 2024, ASEAN menarik pelaburan asing sebanyak AS$235 bilion (UNCTAD) atau 17 peratus syer pelaburan asing global. Negara China menerima AS$114.76 bilion (State Council of PRC) manakala GCC pula AS$70 bilion (Laporan oleh Khaleej Times).

Secara kolektif, ini merangkumi sekitar 30 peratus daripada jumlah FDI global bagi tahun tersebut.

Daripada data sedemikian sahaja, kepentingan gabungan kekuatan ekonomi ini jelas kepada pemimpin dari China dan kedua-dua blok ekonomi.

ASEAN boleh berperanan sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Asia Timur.

Malaysia, khususnya dengan ekosistem perdagangan dan perindustrian mantap, keluhuran undang-undang serta kemudahan perjalanan pelabur berada pada kedudukan kukuh untuk memudah cara pelaburan ke dalam pasaran ASEAN dan Asia Timur lebih luas.

Dinamisme ekonomi GCC, kedudukan strategik menghubungkan Eropah, Asia dan Afrika serta nilai agama dan budaya yang dikongsi bersama Malaysia dan ASEAN menjadikan GCC rakan sesuai untuk integrasi ekonomi lebih mendalam.

Malah, pada 2023, jumlah dagangan ASEAN dengan GCC mencecah AS$130.7 bilion dan aliran masuk FDI ialah AS$390.2 juta.

China pula merupakan rakan dagang terbesar ASEAN, dengan nilai dagangan AS$696.7 bilion dan FDI AS$17.3 bilion.

Justeru, China dan GCC merupakan rakan ekonomi penting bagi ASEAN dan Malaysia. Oleh itu, wajar kita menjalinkan kerjasama dengan mereka, baik secara dua hala mahupun tiga hala.

Sehubungan itu, Malaysia akan memulakan rundingan bagi suatu perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan GCC dalam masa terdekat memandangkan potensi besar untuk meningkatkan jumlah dagangan semasa yang berjumlah AS$22 bilion antara Malaysia dan GCC.

Manfaat ASEAN kepada rakyat

Saya ingin menjurus lebih terperinci dan menunjukkan bagaimana penglibatan pada skala ASEAN-GCC-China boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia termasuk golongan belia, wanita dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Melalui 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Tonggak Ekonomi Pengerusi ASEAN Malaysia 2025, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kementerian berkaitan sedang berusaha gigih memastikan kemajuan yang ketara menjelang akhir tahun ini.

Sebahagian daripada PED ini secara langsung berkaitan GCC dan China. Misalnya, kita telah menyelesaikan rundingan bukan sahaja bagi menambah baik Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) tetapi juga Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0. Kedua-duanya akan ditandatangani pada Oktober 2025, sekali gus menggalakkan dagangan intra-ASEAN serta dagangan ASEAN dengan China.

Satu lagi PED kita adalah mengenai Pengisytiharan Bersama ASEAN-GCC mengenai Kerjasama Ekonomi juga telah diselesaikan sepenuhnya.

Melalui inisiatif ini, kedua-dua rantau akan meneroka bidang kerjasama baharu seperti integrasi pasaran, kelestarian, penyahkarbonan, transformasi digital dan keterangkuman termasuk untuk PMKS.

Dari segi sektor, PED ASEAN berkaitan Pembangunan Syor Dasar dan Garis Panduan bagi Menyokong Pelan Tindakan Pelaksanaan Kenderaan Elektrik (EV) ASEAN boleh memanfaatkan kepimpinan global China dalam sektor EV.

Pada 2024, China menghasilkan lebih 70 peratus daripada jumlah kereta elektrik global dan lebih 70 peratus daripada pengeluaran bateri EV.

Pelan tindakan ASEAN

Kita juga perlu mempertimbangkan Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026–2030 yang jelas sejajar dengan usaha GCC untuk mempelbagaikan ekonominya dan mengurangkan pergantungan kepada minyak dan gas ke arah tenaga boleh baharu (RE) di dalam campuran tenaga.

Mereka telah berikrar untuk melabur sebanyak AS$100 bilion dalam RE menjelang 2030 bagi peralihan kepada tenaga bersih dan pengurangan pelepasan karbon.

Sememangnya terdapat pelbagai sinergi dalam usaha integrasi ekonomi. Bagaimana dengan Pembangunan Tinjauan Pelancongan ASEAN?

Jawapannya, China dan GCC merupakan pasaran pelancong utama bagi ASEAN. Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS) pula? Jawapannya, China merupakan pembeli dan pengeluar cip utama dunia.

Ringkasnya apabila Malaysia mengemukakan PED untuk tahun Pengerusiannya, kami sememangnya jelas tentang bagaimana ia dapat merancakkan lagi dinamik sosioekonomi ASEAN dan seterusnya, memperkukuh hubungan tiga hala ASEAN-GCC-China.

Tambahan pula, permintaan global terhadap produk halal dianggar bernilai lebih AS$3 trilion dan dijangka meningkat kepada AS$5 trilion pada 2030.

Ini merupakan pasaran yang boleh diterokai bersama ASEAN, GCC dan China – dan mungkin juga dapat dikuasai bersama.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri