PUTRAJAYA – Penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram atau bersamaan tiga tong bersaiz 14 kilogram pada satu-satu masa tidak memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, ketetapan itu adalah selaras dengan peruntukan sedia ada di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
Menurutnya, pemeriksaan penguat kuasa KPDN di premis-premis jualan makanan dan minuman kini adalah pada peringkat advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk PPKB (Pindaan) yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
"Sepanjang tempoh Ops Gasak, tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil
kepada perniagaan perkhidmatan jualan makanan dan minuman berhubung keperluan memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual bagi LPG," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, mana-mana perniagaan yang menggunakan LPG melebihi had 42 kilogram disarankan untuk memohon PBKB melalui sistem Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0 atau berhubung dengan pejabat KPDN negeri serta cawangan berhampiran.
Dalam masa yang sama, pembekal LPG masih dibenarkan meneruskan pembekalan tong bersubsidi kepada pelanggan sedia ada termasuk peniaga makanan walaupun mereka belum memiliki permit tersebut.
Ops Gasak atau Operasi Gas Memasak dilancarkan sejak 1 Mei lalu bagi mengekang ketirisan subsidi.
Ia memberi tumpuan kepada dua bentuk penyalahgunaan utama iaitu aktiviti pemindahan LPG dari tong bersubsidi ke tong tidak bersubsidi untuk tujuan jualan komersial dan penyeludupan serta penggunaan LPG bersubsidi oleh industri berskala sederhana dan besar.