KUALA LUMPUR - Dua penulis muda tampil dengan naskhah menyentuh jiwa terbitan Grup Buku Karangkraf, masing-masing menzahirkan sisi kehidupan lelaki dan remaja yang jarang diketengahkan dalam dunia penulisan arus perdana.
Penulis, Muhammad Abu Hurairah Roslan hadir dengan karya ‘Sayap Yang Tetap Terbang’, sebuah buku motivasi keagamaan yang ditulis khusus untuk kaum lelaki yang belum atau sudah mendirikan rumah tangga dengan fokus kepada cabaran sebenar dalam peranan mereka sebagai suami dan bapa.
"Buku ini khas untuk lelaki. Kita tahu banyak buku motivasi ditulis untuk wanita, jadi saya mahu tampilkan tentang perjuangan, cabaran dan jatuh bangun lelaki yang bergelar suami dalam rumah tangga,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di reruai Karangkraf PBAKL 2025 pada Jumaat.
Menurut beliau, antara inti pati penting buku berharga RM27 tersebut ialah mengajak lelaki menjadi insan kuat dari sudut rohani, bukan sekadar menjadi ‘ketua keluarga’ di atas kertas.
"Lelaki yang kuat adalah orang yang datang paling awal ke masjid dan balik paling akhir.
"Ketika itu dia muhasabah, beristighfar dan meluahkan semua kepada ALLAH. Kalau anak dan isteri itu tanggungjawab dia, maka dirinya pula adalah tanggungjawab ALLAH,” ujarnya.
Sementara itu, penulis remaja Danial Jazmi pula tampil dengan naskhah penuh emosi bertajuk Why The Hate?, yang menggambarkan perjuangan remaja menentang stigma dan kebencian.
"Kenapa perlu membenci, sedangkan kehidupan ini harus dinikmati dengan gembira?” soal Danial yang menjadikan pengalaman pahit di sekolah menengah sebagai inspirasi utama karyanya.
Katanya, beliau pernah melalui fasa kemurungan selepas berselisih faham dengan sahabat baik, selain sering dibuli kerana rupa fizikal dan cara berfikir yang dianggap ‘berbeza’.
"Masa itu saya rasa kosong sangat. Tambah pula, mak ayah saya tegas dan hidup sosial saya terbatas. Bila orang pandang dengan penuh kebencian, kita boleh rasa melalui mata dan bahasa tubuh mereka,” katanya.
Namun jelasnya, tidak semua yang kelihatan garang atau pendiam itu jahat dan mesej inilah yang ingin beliau sampaikan kepada para pembaca.
Why The Hate? merupakan buku ketujuh hasil tulisan Danial. Beliau turut menghasilkan lukisan sendiri bagi kebanyakan bukunya, termasuk My Travel Adventures Singapore, My Super Duper Busy Life, dan My Unique Experience In My New School.
Bagi Danial, apa yang penting dalam menulis bukan bahasa atau kesempurnaan, sebaliknya keikhlasan dan kefahaman.
"Tak kisah bahasa Inggeris tu bagus atau tidak, asalkan kita faham dan ikhlas masa menulis. Tulis saja sampai puas hati. Itu yang penting,” ujarnya.