Sidang Pengarang yang dihormati,
Sebagai bekas wartawan dan wartawan penyiaran televisyen, saya menyaksikan sendiri bagaimana media menentukan bukan sahaja tajuk berita utama tetapi juga berita yang menjadi perbualan nasional.
Apa yang dilaporkan membentuk naratif, apa yang diabaikan akan lenyap dari fikiran masyarakat.
Justeru, dalam sebuah negara demokrasi yang berfungsi, peranan media ini datang bersama tanggungjawab yang besar.
Malaysia telah lama bergelut untuk keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana. Walaupun banyak pihak menyalahkan dasar ekonomi, tetapi isu yang lebih besar sebenarnya terletak pada defisit kepercayaan terhadap institusi dan kepimpinan.
Defisit kepercayaan ini bukan suatu perkara baharu. Ia pernah mencapai kemuncaknya hingga mencetuskan Tragedi 13 Mei, memaksa negara menekan butang ‘reset’ dalam landskap politiknya.
Pada tahun 1971, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dan diluluskan di Parlimen tanpa perlu kepada ugutan politik atau imbuhan kerana rakyat percaya kepada keikhlasan dan arah tuju kepimpinan pada waktu itu.
Kepercayaan itulah yang membolehkan kestabilan negara dan kemajuan jangka panjang dibentuk.
Hari ini, kita berdepan semula dengan defisit kepercayaan yang serupa. Seharusnya apabila satu seruan dibuat baru-baru ini untuk membina semula satu konsensus nasional, iaitu usaha serius untuk memulihkan kepercayaan dan mencari laluan kestabilan yang lebih kukuh, ia sepatutnya mencetuskan wacana nasional yang bermakna.
Namun, sebahagian besar media arus perdana memandang sepi seruan tersebut. Ia bukan kenyataan sambil lewa atau retorik politik. Ia adalah satu cadangan yang substantif dan konstruktif.
Walaupun ada beberapa portal bebas dan media berbahasa Cina mengangkatnya menjadi berita, tetapi media arus perdana berbahasa Melayu dan Inggeris hanya membiarkannya berlalu begitu sahaja.
Pada saya, ini bukan sekadar kecuaian ‘agenda setting’ atau penafian kebebasan editorial, ia merupakan satu bentuk penindasan maklumat. Adakah percambahan wacana nasional hanya akan wujud melalui pembelian ruang media atau advertorial?
Saya teringat satu insiden membimbangkan pada tahun 2023: satu slot berbayar telah dibeli oleh pembangkang dari sebuah stesen televisyen swasta utama dan bayaran pun telah mereka terima untuk menyiarkan rakaman tadbir raya, tetapi akhirnya dibatalkan di saat-saat akhir sebelum siaran dibuat.
Sejak bila ucapan hari raya dan rakaman tadbir raya menjadi terlalu sensitif? Apabila takbir raya pun dilihat sebagai ancaman politik, apa maknanya terhadap persekitaran ruang lingkup wacana awam kita?
Apa yang lebih membimbangkan ialah corak sistemik di sebaliknya. Banyak akhbar utama Melayu dan Inggeris dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh parti politik atau tokoh tertentu.
Penjajaran struktur ini menimbulkan persoalan yang tidak selesa: adakah kesenyapan media satu keputusan editorial, atau strategi politik? Apabila platform yang dahulunya dipercayai bebas mula memihak sesuatu pihak, kepercayaan awam bukan sekadar goyah, ia runtuh.
Kita tidak boleh mengaku sebagai negara demokrasi jika hanya satu sisi cerita nasional yang diangkat.
Peranan media bukan untuk menjadi penjaga pintu kepada mereka yang berkuasa. Peranannya adalah untuk memaklumkan rakyat secara adil, menyeluruh dan tanpa takut biarkan rakyat menjadi kritis dan membuat keputusan sendiri.
Liputan yang terpilih hanya memesongkan perbualan nasional. Ia menafikan peluang rakyat Malaysia untuk berfikir secara kritis, membuat perbandingan dan membentuk hala tuju negara ini.
Tanpa wacana rakyat yang terbuka, konsensus tidak akan mampu dibentuk. Media mesti berubah. Bukan untuk mana-mana ahli politik tetapi demi rakyat dan negara.
Ikhlas,
Zulkifli Bujang
Bekas wartawan BERNAMA dan penyiar televisyen
Kuala Lumpur