KUALA SELANGOR –"Dah sampai.” Itu mesej terakhir dikirim pelajar lelaki, Muhammad Faris Mohd Fadzli, 17, kepada keluarganya menerusi kumpulan WhatsApp sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Parit Mahang, Jeram, di sini, pada Khamis.
Mesej tersebut yang memaklumkan kehadirannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Bestari Jaya untuk menghadiri kelas tambahan, rupa-rupanya menjadi petanda kepada pemergian arwah buat selama-lamanya.
Menurut bapanya, Mohd Fadzli Kadar, 46, anak sulung daripada dua beradik itu sempat memuat naik swafoto terakhir lengkap berbaju-T sekolah sekitar jam 7.50 pagi hanya beberapa jam sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.
"Arwah keluar rumah awal pagi sebab ada kelas tambahan Sejarah. Dia juga singgah ambil rakan di Parit Mahang sebelum ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 8 Ijok, di sini pada Jumaat.
Katanya, arwah memaklumkan sudah tiba di sekolah dalam WhatsApp keluarga dan turut menjawab pertanyaannya mengenai sarapan pagi.
"Dia jawab sudah makan di kedai mamak dan bawa bekal nasi goreng. Selepas kelas, dia balik rumah sekejap untuk turunkan beg dan terus hantar rakannya semula ke Parit Mahang,” jelasnya.
Mohd Fadzli berkata, kali terakhir dia melihat anaknya adalah ketika mengambil gambar arwah bersama rakannya sebelum mereka beredar.
"Gambar itu saya rakam sebelum mereka keluar rumah semula. Arwah tak pandang pun ke arah saya waktu tu, mungkin tak perasan,” katanya.
Lebih menyayat hati, kata Mohd Fadzli, mereka dimaklumkan bahawa arwah sempat menunaikan solat Zohor di masjid sebelum kejadian.
Bagaimanapun, sekitar jam 2.15 petang, rakan arwah memaklumkan kepada Mohd Fadzli bahawa dia sudah sampai ke rumah dan bertanya jika Faris sudah tiba di rumah.
"Saya jadi tak sedap hati sebab panggilan kepada Faris tak dijawab. Tak lama lepas tu, saya dapat panggilan daripada orang tak dikenali yang maklumkan anak saya kemalangan dan sudah tiada,” katanya.
Mohd Fadzli berkata, dia terus ke lokasi kejadian dan menemui jenazah anaknya terbujur kaku di tepi jalan.
"Saya sempat cium pipi dan usap wajahnya. Saya reda dengan pemergian anak yang sangat baik dan bertanggungjawab, bercita-cita nak jadi ahli forensik,” katanya sebak.
Jenazah Allahyarham Muhammad Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ijok sekitar jam 10 malam hari sama.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin mengesahkan kejadian yang berlaku sekitar jam 2.31 petang.
Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori.
"Akibat pelanggaran, mangsa tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.