KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar golongan muda khususnya anak tempatan di Sabah diberi tumpuan dalam aspek latihan serta pembangunan kemahiran sejajar dengan keperluan industri.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan tetap komited menyokong penuh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Sabah yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Tambahan pula, pelaburan dalam sektor keluli yang dilaksanakan di Sabah bersifat hijau dan memberi fokus kepada latihan golongan belia di negeri ini.
"Saya telah berbincang dengan pengerusi dan menyarankan supaya perhatian diberikan kepada aspek latihan dan pembangunan kemahiran anak-anak tempatan.
"Universiti serta agensi di peringkat negeri dan Persekutuan perlu lebih fleksibel dalam membenarkan golongan muda menyertai latihan ini, meskipun mereka tidak memiliki sijil formal,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd Fasa 1 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat.
Perdana Menteri menegaskan bahawa latihan yang menepati piawaian industri wajar diberi pengiktirafan kerana kadangkala ia lebih relevan berbanding kursus di pejabat kerajaan.
"Jika sesebuah syarikat memerlukan 200 pekerja daripada satu institusi, biarlah mereka dilatih lebih awal supaya tidak wujud jurang antara latihan dan keperluan sebenar industri.
"Itulah sebabnya kita beri fleksibiliti. Di Kulim Hi-Tech, Zon Ekonomi Singapura–Johor dan di Lembah Klang, kita telah arahkan industri dan institusi pengajian bekerjasama memastikan latihan memenuhi kehendak industri sebenar.
"Saya telah pesan kepada pengerusi, ambil kakitangan, lawati institusi tertentu dan buat cadangan. Kepada kementerian pula, saya ingatkan agar jangan biarkan kerenah birokrasi menjejaskan masa depan pelajar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar latihan di luar negeri atau negara juga dilaksanakan jika ia memberi peluang yang besar untuk mereka kembali sebagai individu yang berkemahiran serta bertauliah.
"Latih mereka supaya pulang sebagai jurutera atau juruteknik bertauliah. Inilah yang dimaksudkan dengan pertumbuhan inklusif. Malah, Strategi ASEAN 2025 turut menekankan nilai inklusiviti.
"Sebab itu saya hadir ke sini bukan sekadar untuk sambutan Kaamatan, tetapi kerana program ini mencerminkan nilai inklusiviti yang sebenar,” ujarnya.
Anwar berkata, beliau percaya Sabah kini cukup matang untuk menjadi negeri yang kompetitif dan mampu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, selain memanfaatkan sumber sedia ada untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Saya bercakap dengan penuh keyakinan kerana saya percaya. Perbezaan politik itu biasa, tetapi jangan jadikan ia alasan untuk menyebar fitnah dan memecah belahkan rakyat.
"Kerajaan Persekutuan hanya akan berfungsi dengan baik jika semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak bekerjasama. Sabah hanya akan berjaya jika dapat berhubung rapat dan menerima manfaat daripada Kerajaan Pusat.
"Kita tidak mahu menang melalui eksploitasi atau platform yang berat sebelah. Kita mahu kejayaan melalui kerjasama dan tindakan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan kononnya terdapat layanan berat sebelah antara Semenanjung dan Sabah berhubung kelulusan lesen industri keluli.
"Tiada industri keluli yang sedang diluluskan. Tetapi kenapa kita luluskan untuk Sabah? Adakah kerana sesuatu sebab? Bukan. Sebab yang pertama, ia projek hijau.
"Sebab yang kedua, ada kapasiti. Permintaan wujud untuk Sabah, Sarawak, Kalimantan, dan kapasiti syarikat keluli gergasi ini membolehkan mereka mengeksport.
"Jadi, ada kerajaan di Semenanjung yang mungkin berkata, Anwar mendiskriminasi Semenanjung dan lebih memihak kepada Sabah. Naratif dan gimik politik seperti ini akan terus berlaku.
"Tetapi kita membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk negara. Kita putuskan apa yang terbaik, iaitu tiada lagi lesen industri keluli baharu di Semenanjung, tetapi kita benarkan satu di Sabah. Begitulah cara kita mentadbir negara ini,” katanya.