Malaysia disaran terajui usaha ASEAN tangani pemerdagangan manusia - MHO

Iklan
Hishamuddin menyerahkan butiran 28 mangsa yang masih terperangkap di Myanmar kepada Setiausaha Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat di Wisma Putra, di Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Malaysia digesa menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk mengetuai usaha menangani isu pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara secara menyeluruh dan berkesan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tanggungjawab besar yang dipikul negara perlu dimanfaatkan demi membela nasib rakyat Malaysia yang masih terperangkap di luar negara akibat diperdaya sindiket.

Iklan
Iklan

"Tujuan surat ini dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mencadangkan agar peluang sebagai pemegang Pengerusi ASEAN Tahun 2025 digunakan bagi menangani isu pemerdagangan manusia secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan butiran 28 mangsa yang terkandas di Myanmar kepada Setiausaha Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat di Wisma Putra, pada Jumaat.

Iklan
Antara yang hadir ke Wisma Putra pada Jumaat.

Menurut Hishamuddin, antara cadangan utama MHO ialah penubuhan pasukan tindakan khas serantau bagi menyelaras siasatan, operasi penyelamatan serta pemulangan mangsa pemerdagangan manusia yang masih berada di negara-negara anggota ASEAN.

"Perjanjian dan protokol ASEAN sedia ada juga perlu diperkasakan, khususnya dari segi penguatkuasaan rentas sempadan dan pertukaran maklumat antara negara,” katanya.

Iklan

MHO juga mencadangkan agar pendekatan diplomatik yang lebih agresif diambil untuk membela nasib rakyat Malaysia yang terpedaya dengan tawaran pekerjaan luar negara tetapi akhirnya dijadikan mangsa pemerdagangan manusia.

"Kami memandang serius isu ini kerana masih ramai rakyat Malaysia yang dikurung, diseksa dan ditahan tanpa peluang dibebaskan setelah diperdaya sindiket,” tegasnya.

MHO turut menggesa agar semua negara ASEAN menutup segera pusat penipuan atau 'scam centres' yang dikenal pasti masih aktif beroperasi dalam wilayah masing-masing.

"Pusat-pusat ini tidak seharusnya diberi ruang untuk terus membahayakan nyawa dan maruah rakyat serantau. Penutupan pusat-pusat ini adalah langkah penting demi keselamatan dan keadilan kemanusiaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Hishamuddin menyarankan agar ASEAN memberi komitmen menyeluruh dalam usaha membawa pulang semua mangsa pemerdagangan manusia, terutama di Myanmar, Laos dan Kemboja.

"Tindakan tegas, segera dan berteraskan kemanusiaan amat diperlukan bagi memastikan mangsa dapat diselamatkan dengan selamat dan bermaruah,” katanya.