KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM71,000 selepas diperdaya oleh sindiket yang menawarkan pakej haji palsu pada harga yang tidak munasabah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kes yang dialami mangsa merupakan kes pertama dilaporkan bagi tahun ini.
"Semakan mendapati jumlah kes pada tahun lalu menurun kepada empat berbanding 11 kes pada 2023.
"Namun begitu, nilai kerugian meningkat secara mendadak pada 2024 iaitu sebanyak RM874,100 berbanding RM649,631 pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, pada Jumaat.
Datuk Seri Muhammed Hasbullah menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji yang terlalu murah atau tidak masuk akal, khususnya yang ditawarkan melalui media sosial atau ejen tidak berdaftar.
"Orang ramai dinasihatkan menyemak terlebih dahulu status pendaftaran syarikat yang menawarkan perkhidmatan haji dan umrah melalui laman web rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Lembaga Tabung Haji (TH).
"Semua urusan juga hendaklah dilakukan secara rasmi di pejabat syarikat yang sah dan pembayaran perlu dibuat ke akaun syarikat, bukan ke akaun peribadi,” jelas beliau.
Bagi memperkasakan usaha menangani isu jemaah terkandas, Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Jemaah Haji Terkandas telah diaktifkan bermula 30 Mei lalu.
"Penubuhan pasukan ini adalah sebahagian daripada inisiatif memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam menangani aduan dan isu berkaitan jemaah haji secara lebih terancang, efisien dan berlandaskan bidang kuasa agensi berkaitan,” katanya.
Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan dalam memastikan urusan ibadah suci umat Islam tidak dicemari oleh penipuan yang tidak bertanggungjawab.