Israel terus halang akses keperluan asas penduduk Gaza - PBB

Iklan
Tindakan Israel menghalang kemasukan trak bantuan disifatkan sebagai mencabar hak kemanusiaan.

NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa ketenteraan Israel terus menghalang akses keperluan asas kepada penduduk Gaza selepas lebih 600 hari mencetuskan peperangan di wilayah berkenaan.

Menurut Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Jonathan Whittall, puluhan rakyat dilaporkan cedera akibat ditembak ketika cuba mendapatkan bantuan di satu lokasi agihan bantuan baharu berhampiran Rafah.

Iklan
Iklan

Katanya, situasi tersebut menggambarkan serangan berpanjangan terhadap nilai dan martabat kemanusiaan.

"Skim agihan bantuan yang baharu ini bukan sekadar mengawal bantuan, tetapi sebenarnya satu cara untuk mewujudkan kekurangan secara sengaja.

Iklan

"Hanya ada empat pusat agihan di bahagian tengah dan selatan Gaza, dikawal oleh syarikat keselamatan swasta dari Amerika Syarikat (AS). Hanya mereka yang mampu pergi ke sana akan dapat bantuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengagihan bantuan baharu itu tidak mampu menampung keperluan di Gaza, malah ia gagal memenuhi kewajipan minimum di bawah undang-undang antarabangsa.

Iklan

Dalam pada itu, Ketua Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric mendedahkan bahawa kira-kira 900 trak bantuan telah dikemukakan untuk kelulusan Israel sejak minggu lalu, namun hanya 800 diluluskan.

"Daripada 800 itu, hanya 500 trak sahaja berjaya dipunggah di sebelah Israel. Namun begitu, disebabkan isu keselamatan dan sekatan akses, kami hanya sempat mengambil 200 trak bantuan.

"Pihak berkuasa Israel juga terus menolak permohonan untuk menyelaras pergerakan kemanusiaan di Gaza. Keadaan ini benar-benar menyukarkan bantuan dan usaha kami menyalurkan pertolongan kepada penduduk di sana,” katanya.

Pada Selasa, satu serangan udara dilaporkan menggegarkan sebuah dapur komuniti di Bandar Gaza, meragut nyawa seorang individu dan mencederakan seorang lagi.

Dalam situasi serba kekurangan itu, dapur-dapur komuniti yang masih beroperasi bertungkus-lumus menyediakan kira-kira 300,000 hidangan setiap hari, meskipun bergantung kepada stok bekalan yang semakin menyusut.