SPRM sita aset RM32 juta milik Tan Sri disyaki seleweng dana bina lebuh raya

Iklan
Sitaan tersebut antaranya melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, selain kediaman mewah. - Foto/Ihsan sumber

KUALA LUMPUR - Pelbagai aset dan barangan mewah berjumlah RM32 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai daripada seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.

Sumber berkata, sitaan itu membabitkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai serta kediaman mewah.

Iklan
Iklan

Kata sumber, SPRM bertindak demikian susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

"Sitaan ini susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara pada Khamis.

Iklan

"Menerusi penggeledahan ini, SPRM telah menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah RM5 juta, 27 unit tas tangan berjumlah lebih RM1 juta dan barang kemas berjumlah lebih RM4 juta.

"SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta," katanya pada Khamis.

Iklan

Sumber berkata, susulan penggeledahan itu, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Jelasnya, perolehan minuman berakohol mewah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Katanya lagi, SPRM turut membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta yang dipercayai milik individu berkenaan.

"Kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001," ujarnya.