JOHOR BAHRU – Seramai 15 lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah banglo mewah yang disyaki dijadikan pusat penipuan tawaran kerja dalam talian di Batu Pahat, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan kira-kira jam 5.15 pagi itu dilakukan oleh Bahagian Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Menurutnya, banglo tersebut dipercayai dijadikan pusat panggilan atau calling centre bagi sindiket penipuan pekerjaan dalam talian (job scam) yang menyasarkan mangsa dari negara Rusia.
"Hasil serbuan, seramai 15 lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan, terdiri daripada seorang warga tempatan dan 14 lagi warganegara asing,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pemeriksaan menemui pelbagai peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu termasuk 14 unit komputer riba dan 19 unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM30,000.
Ujarnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah beroperasi sejak Mac lalu dan dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk berkomunikasi dengan mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana pakat jahat jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk nasihat dan pihak kami diarahkan mendapatkan beberapa keterangan tambahan bagi mengukuhkan kes,” ujarnya.
Katanya, tindakan tegas dan berterusan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjadikan Johor sebagai pusat kegiatan jenayah.
"Mereka yang ditahan akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.