GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap dua ekor gajah liar jantan yang dilaporkan berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Pulai, di sini pada Rabu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan gangguan gajah liar itu pada Selasa dan seramai tujuh anggota dari Unit Tangkapan Gajah (UTG) digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemantauan.
"Kedua-dua ekor hidupan liar itu ditangkap di kawasan kebun sekitar kampung tersebut.
"Tangkapan ini sedikit sebanyak melegakan penduduk yang terjejas akibat kerosakan tanaman dan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, operasi pemindahan dan pelepasan gajah-gajah terbabit ke habitat yang lebih sesuai akan dilakukan dalam masa terdekat dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang serta kakitangan Perhilitan Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, beberapa langkah mitigasi telah disarankan kepada pekebun bagi mengurangkan risiko konflik berulang.
Ujarnya, langkah tersebut termasuk memasang lampu LED biru di laluan masuk, membersihkan kawasan kebun agar tidak menjadi semak samun serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).
Tambah beliau, pemindahan gajah bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan lokasi kebun berhampiran dengan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Papan dan HSK Ulu Galas yang dianggarkan menempatkan lebih 30 ekor gajah liar.
"Oleh itu, pekebun dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti membina parit gajah atau SPEG bagi mengurangkan gangguan konflik pada masa hadapan,” katanya.