SUNGAI PETANI – Pertubuhan Khidmat Ummah (PKU) memerlukan sebanyak RM130,000 setiap bulan bagi memenuhi keperluan kira-kira 700 asnaf dan fakir miskin sekitar Kuala Muda sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi PKU, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkata, bantuan tersebut disalurkan kerana melihat kepada keperluan mendesak dan kekurangan yang dihadapi golongan asnaf, termasuk mereka yang mempunyai bilangan anak ramai.
Menurutnya, penerima bantuan memperoleh kira-kira RM200 sebulan, namun perlu memenuhi beberapa syarat seperti mempunyai pekerjaan, menjaga kebersihan, menitikberatkan pendidikan anak-anak serta tidak terlibat dalam jenayah atau perbuatan maksiat.
"Apabila saya bertanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dimaklumkan terdapat 12,000 asnaf di Kuala Muda yang memerlukan bantuan. Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan JKM membantu sebahagian, namun masih ramai yang memerlukan sokongan.
"Sebab itu saya tubuhkan PKU untuk bantu agensi kerajaan menghulurkan bantuan kepada asnaf.
"Kami membantu 700 keluarga secara bulanan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM130,000 sebulan, iaitu kira-kira RM200 setiap keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menganjurkan Program Ramah Mesra Jalinan NGO Kebajikan Kuala Muda 6.0 di Pejabat Operasi PKU, baru-baru ini.
"Alhamdulillah, hasil lawatan berkala ke rumah mereka, kami lihat tahap kebersihan meningkat. Kami turut adakan pertemuan, ceramah dan pertandingan kebersihan kediaman.
"Pada masa sama, mereka yang memerlukan bantuan peralatan seperti mesin jahit atau perkakasan memasak turut diberi bantuan. Namun, pemantauan dan siasatan sentiasa dilakukan. Sekiranya melanggar peraturan, tindakan seperti amaran atau penarikan semula bantuan akan dikenakan,” jelasnya.
Ustaz Wadi turut merayu kepada mana-mana pihak atau badan korporat untuk menjadi penyumbang kepada PKU, memandangkan sumbangan tersebut layak untuk pengecualian cukai.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank bernombor 5520-5982-5987 atas nama Pertubuhan Khidmat Ummah.
"Atas rasa tanggungjawab untuk membantu asnaf di tempat tinggal saya, saya khuatir akan dipersoal sebagai ‘public figure’. ALLAH beri kemampuan bercakap, beri pengaruh, orang dengar, maka saya gunakan kelebihan itu untuk membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Wadi berkata, pertemuan bersama kira-kira 12 NGO sekitar daerah itu bertujuan memperkukuh peranan dan kerjasama, sekali gus berkongsi inisiatif dalam menghadapi cabaran, khususnya kekangan kewangan yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi.