Tangguh guna LPG komersial, bebankan peniaga kecil - Rosol Wahid

Iklan
Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan wajib penggunaan silinder LPG komersial 14 kilogram ke atas peniaga kecil. Gambar kecil: Rosol - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan wajib penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial 14 kilogram ke atas peniaga kecil yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bukan sahaja menyebabkan lonjakan kos operasi sehingga tiga kali ganda, malah turut menekan golongan peniaga kecil yang kini bergelut untuk terus bertahan.

Iklan
Iklan

"Ramai pengusaha makanan mengadu kepada saya bahawa mereka sebelum ini hanya membelanjakan sekitar RM2,600 sebulan untuk gas, namun kini terpaksa menanggung kos mencecah RM7,000 selepas diarahkan menggunakan LPG komersial,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bekas Timbalan Menteri KPDN itu berkata, keadaan bertambah buruk apabila ramai peniaga turut menjadi sasaran Ops Gasak sejak tiga minggu lalu, sehingga ada yang dikompaun dan tong gas dirampas oleh pihak berkuasa.

Iklan

"Saya simpati dengan nasib peniaga kecil yang bukan sahaja dibebani kos hidup tinggi, malah kini berdepan tekanan dasar yang dilaksana secara tergesa-gesa oleh kerajaan Madani,” katanya.

Rosol yang juga Ketua Portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam Kabinet Bayangan PN menegaskan, sebarang penyusunan semula subsidi perlu dilaksanakan secara berhati-hati, dengan komunikasi yang jelas serta disertakan insentif sokongan.

Iklan

"Kesan rantaian daripada peningkatan kos ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. Jangan zalimi rakyat,” katanya lagi.

Justeru, beliau mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan itu sehingga satu pelan bantuan bersasar dan sokongan sesuai diperkenalkan kepada peniaga kecil.

"Sekurang-kurangnya kerajaan perlu ada pelan khusus bagi meringankan beban kos agar pengguna akhir tidak terpaksa menanggung kesan mendadak,” ujarnya.