IPOH - Urusan tebus beli tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu menunjukkan perkembangan positif, meskipun keputusan akhir masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi masjid, Yusof Majid berkata, beberapa proses penting telah berlaku sejak pertengahan Mei lalu termasuk surat-menyurat antara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan peguam yang mewakili pemilik tanah.
Menurutnya, rundingan tersebut kini berada dalam fasa menunggu penilaian rasmi daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
"Pada 19 Mei lalu, saya dimaklumkan bahawa MAIPk telah mengeluarkan surat kepada peguam tanah bagi mendapatkan penilaian dan harga yang ditetapkan sebagai nilai jualan.
"Saya menerima salinan surat tersebut dan pada 23 Mei, saya dimaklumkan MAIPk telah menerima maklum balas melalui e-mel daripada peguam tuan tanah.
"Bagaimanapun, penilaian harga tersebut belum lagi dibuat secara rasmi oleh pihak peguam," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, MAIPk telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan surat kepada JPPH untuk mendapatkan penilaian rasmi bagi memastikan harga yang bakal dibayar adalah adil dan mengikut nilai pasaran semasa.
"Alhamdulillah, pihak tuan tanah memberikan kerjasama yang baik dalam urusan pembelian ini. Tiada sebarang halangan besar setakat ini," jelasnya.
Mengulas mengenai harga asal yang pernah dipersetujui sebelum ini iaitu RM1.8 juta, katanya, jumlah itu masih kekal buat masa ini.
"Harga itu masih belum berubah. Apa pun, kita tunggu keputusan muktamad setelah rundingan antara peguam MAIPk dan peguam pihak penjual diselesaikan sepenuhnya.
"Dalam hal ini, pihak masjid hanya bertanggungjawab dalam menyediakan dana pembayaran sahaja," katanya.
Yusof memberitahu, lebihan daripada sumbangan orang ramai akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Amanah Khas yang diwujudkan oleh MAIPk.
Pihaknya turut memberi jaminan, tanah seluas 1.2 hektar yang ditebus itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan jangka panjang masjid dan komuniti setempat.
Tambahnya, antara perancangan awal adalah untuk dijadikan sebagai tapak projek pertanian dengan hasilnya disalurkan kepada tabung masjid sebagai sumber pendapatan berterusan.
"Sebahagian kecil pula akan dijadikan kawasan tempat letak kereta bagi kemudahan jemaah," katanya.