MAKKAH - Tidak sempat rindu makanan Malaysia. Itu respon diterima daripada jemaah haji Malaysia mengenai makanan ditawarkan di kafeteria bangunan penginapan masing-masing.
Jemaah haji, Muhammad Fakhri Kamarul Zaman, 34, berkata, makanan dijual di kafeteria Hotel Land Premium dihuninya tidak ubah seperti juadah yang boleh dibeli di tanah air.
Katanya, setakat ini dia belum rindu makanan Malaysia sebaliknya merindui makanan Indonesia.
"Antara kesukaan saya di kafe ini ialah nasi lemak. Harga di sini lebih murah jika dibandingkan dengan makanan dijual di pusat beli-belah atau restoran di luar.
"Pengurusan kafe ini juga teratur, jika pelanggan beratur panjang di kaunter bayaran, kami dibenarkan makan dulu dengan syarat ambil gambar dan tunjuk bila nak bayar kemudian,” katanya.
Seorang lagi jemaah haji, Normah Mat Noor, 59, berkata, makanan dijual pelbagai jenis dan memenuhi citarasanya.
Menurutnya, harga ditawarkan juga berpatutan dan mampu dibeli oleh jemaah haji.
"Antara menu yang saya gemar ialah laksam, karipap, bihun dan mi goreng. Rasa makanan dijual di sini sama macam seolah-olah berada di Malaysia.
"Alhamdulillah Tabung Haji sediakan kafeteria di hotel untuk kami ubah-ubah selera selain makanan tengah hari dan malam yang disediakan mereka,” katanya.