FENOMENA media sosial sentiasa berkembang dengan cepat dan salah satu trend yang mencuri perhatian ketika ini di TikTok ialah Player Knockout Battle atau nama singkatannya, PK Battle.
Bagi generasi muda dan pengguna aktif aplikasi tersebut, PK Battle bukanlah istilah asing. Ia merujuk kepada pertandingan langsung antara dua pengguna TikTok, bersaing untuk memperoleh hadiah digital daripada penonton. Sekilas pandang, trend itu kelihatan seperti aktiviti hiburan biasa.
PK Battle memberi ruang kepada pengguna bersaing dalam bentuk kreatif, dengan ada pengguna TikTok menari, menyanyi, berlawak, malah ada juga hanya berbual santai sambil mengharapkan sokongan penonton.
Selepas tempoh ditetapkan, pemenang ditentukan berdasarkan jumlah hadiah maya diperoleh dan kemudiannya boleh ditukar kepada wang tunai sebenar. Dengan sistem ganjaran itulah trend PK Battle mula menarik perhatian, bukan sahaja pengguna biasa, malah pencipta kandungan untuk mencari pendapatan sampingan.
Bagaimanapun, apabila diteliti dengan lebih mendalam, trend dirasakan lawak dan menggelikan hati itu telah mendedahkan pelbagai sisi gelap yang membimbangkan.
Trend PK Battle bukan sahaja menggalakkan budaya menayang diri, malah mendorong ramai pengguna khususnya wanita berpakaian seksi atau melakukan aksi-aksi tertentu demi meraih perhatian dan sumbangan penonton. Ada juga sanggup melakukan aksi ‘merendahkan’ maruah diri semata-mata untuk menang.
Menurut Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L Francis, persaingan antara dua individu dalam siaran langsung itu bukan sahaja mengundang perbuatan melampau dan tidak bermoral, malah mengandungi elemen buli siber secara terbuka.
Beliau bimbang fenomena tersebut boleh menjadi satu ancaman serius terhadap moral, emosi dan kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan golongan remaja dan belia sekiranya tidak disekat segera.
Pandangan sama disuarakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman yang melihat PK Battle sebagai satu bentuk hiburan membazir dan melalaikan, bertentangan dengan nilai Islam serta budaya masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan selagi tidak melanggar syariat atau melalaikan daripada tanggungjawab. Namun, Mohd Sukki menjelaskan PK Battle yang bersifat kompetitif tanpa manfaat itu mewakili satu bentuk hiburan berbahaya yang harus dibendung.
Bagi penulis, kebimbangan itu wajar dan relevan, apatah lagi apabila ada sesetengah peserta sanggup melakukan tindakan melampaui batas, misalnya sanggup menari dengan aksi tidak senonoh atau bercakap lucah dalam usaha menarik perhatian dan sumbangan. Ia dilihat sebagai medan pertaruhan kurang sihat.
Lebih mengejutkan, ada individu yang kalah terpaksa berdepan hukuman tidak masuk akal seperti menyapu tepung dan melumurkan najis haiwan pada muka serta menyimbah air pada badan yang akan disiarkan secara langsung.
Rentetan daripada perbuatan tidak bermoral ketika PK Battle di TikTok, penulis berpandangan trend itu bukan lagi sekadar permainan biasa dan hiburan kosong tetapi satu bentuk ancaman sosial perlu ditangani segera. Ia juga ancaman besar terhadap kesihatan mental pengguna media sosial.
Jika dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh memberi kesan buruk jangka panjang kepada masyarakat, khususnya generasi muda. Dalam era digital serba canggih, trend seperti PK Battle memerlukan pendekatan holistik melibatkan semua pihak - kerajaan, platform media sosial, pendidik, ibu bapa sehinggalah masyarakat.
Lebih penting, pengguna juga perlu mempunyai kesedaran untuk menetapkan batas ketika menggunakan TikTok dan tahu bila harus berhenti apabila hiburan dianggap santai serta menghiburkan itu bertukar menjadi ketagihan kepada populariti dan wang.
Hanya dengan kerjasama dan pemahaman bersama, kita dapat memastikan media sosial kekal sebagai ruang positif dan bukan tempat menormalisasi kelakuan tidak bermoral demi hadiah digital.
*Nurul Hidayah Hamid ialah Wartawan Sinar Harian