PELETAKAN jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa masing-masing 17 Jun dan 4 Julai depan menandakan perubahan signifikan dalam struktur kepimpinan Kerajaan Perpaduan kali ini.
Tindakan dua figura itu susulan keputusan pemilihan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu lalu yang menyaksikan Nurul Izzah Anwar menggantikan Rafizi sebagai Timbalan Presiden parti dan Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan.
Secara tidak langsung, tumpuan selepas ini sudah pasti terhadap rombakan Kabinet pimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka berlaku tidak lama lagi.
Justeru mahu atau tidak, dua jawatan kosong itu perlu segera diisi oleh mana-mana pemimpin PKR memandangkan ia kuota parti berkenaan.
Nama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendapat sokongan Anwar menjadi antara yang disebut-sebut individu layak menggantikan Rafizi.
Selain itu Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan turut meraih perhatian dan dikatakan sesuai mengisi kekosongan salah satu daripada dua jawatan menteri dalam Kabinet Kerajaan Madani.
Walau apa pun yang berlaku, rombakan Kabinet kelak dijangka membawa perubahan dalam strategi pembangunan ekonomi dan pengurusan sumber asli dengan fokus kepada kecekapan dan integriti.
Bagi dua figura PKR itu, sudah pasti perjalanan politik mereka terus menjadi tanda tanya dan tidak mustahil, sudah ada rancangan sama ada mahu meneruskan karier atau menoktahkan perjalanan Reformasi yang dimulakan.
Namun melihat kepada keperibadian Rafizi, beliau dijangka mengambil langkah untuk membina pengaruh peribadi di luar pentas rasmi politik, mirip bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Nik Nazmi pula, perjalanan politiknya masih menjadi tanda tanya dan hanya beliau yang 'fasih' tentang masa depannya dalam PKR.