Curang memang dosa, tapi mengaib dan memfitnah pun bukan kerja orang beriman

Iklan
ISLAM sangat menitikberatkan soal maruah dan privasi individu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

SEJAK beberapa hari lalu, kecoh di media sosial apabila tular dakwaan seorang guru yang dikatakan curang dengan pasangan orang lain.

Bukan sahaja gambar dan nama penuh individu terbabit disebar secara terbuka, malah tempat kerja juga turut diumum tanpa segan silu.

Iklan
Iklan

Tindakan itu mendapat sambutan ‘meriah’ dalam kalangan warganet. Ada yang tampil menjadi ‘pendakwa awam’, menulis ulasan tajam, menyebar ‘bukti’ yang tidak diketahui kesahihannya, malah terdapat juga yang menghukum serta menjatuhkan maruah manusia lain tanpa pertimbangan sewajarnya.

Iklan

"Dalam isu kecurangan, tidak boleh dinafikan bahawa kedua-dua pihak perlu dipertanggungjawabkan.

"Namun, keadilan menuntut agar kita menyelidiki punca, latar belakang dan ruang yang berlaku,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.

Iklan

Jelas beliau, keghairahan masyarakat untuk menjadi hakim dan pendakwa dalam ruang maya tanpa ilmu serta autoriti syarie bukan sahaja satu bentuk kezaliman, malah bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam.

"Jika kita tidak tahu keseluruhan cerita, tidak hadir di tempat kejadian, tidak mendengar penjelasan daripada semua pihak, bagaimana mungkin kita menjatuhkan hukum secara mutlak?" soalnya.

Tambah penceramah itu lagi, Islam sangat menitikberatkan soal maruah dan privasi individu.

Disebabkan itulah dalam ilmu fiqh, katanya, wujud satu prinsip penting berkaitan pendedahan aib iaitu ‘Menutup aib itu wajib kecuali terdapat maslahat yang lebih besar untuk mendedahkannya’.

KEGHAIRAHAN masyarakat untuk menjadi hakim dan pendakwa dalam ruang maya tanpa ilmu serta autoriti syarie bukan sahaja satu bentuk kezaliman, malah bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam. -Foto: CANVA

"Bukan netizen, bukan orang awam, apatah lagi mereka yang hanya bersandarkan emosi dan sangka-sangka.

"Namun, jika aib itu dilakukan secara terang-terangan dan memberi mudarat kepada masyarakat, maka pihak berautoriti boleh mengambil tindakan bukan dengan tujuan untuk membalas dendam, tetapi mendidik dan memelihara maslahat awam,” coretnya.

"Kamu marah dosa orang lain, tapi lupa dosa lidah dan tangan sendiri.

"Ingat, kezaliman itu akan kembali kepada pelaku, bukan hanya kepada yang dizalimi,” titipnya.

Beliau kemudian memetik kisah tokoh ulama terkenal, Imam al-Fudhail bin ‘Iyadh yang menasihati seseorang kerana mencela pelaku maksiat:

"Wahai saudaraku, kasihanilah dia. Bersyukurlah kepada ALLAH kerana kamu tidak diuji sepertinya. Boleh jadi kamu lebih buruk daripada dia, tetapi ALLAH menutup aibmu."

USAH terlalu mudah menjatuhkan 'hukum' kepada orang lain apatah lagi jika kita tidak tahu keseluruhan cerita, tidak hadir di tempat kejadian dan tidak mendengar penjelasan daripada semua pihak. -Foto: CANVA

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, pendakwah itu mengingatkan, dalam berdepan dengan isu sebegini, umat Islam perlu sentiasa mendidik diri untuk lebih berhati-hati dalam menilai dan berkata-kata.

"Kita bukan malaikat, tapi kita juga bukan syaitan yang seronok bila melihat orang jatuh.

”Jika kamu benar berilmu, kamu akan takut menghukum. Jika kamu benar ikhlas, kamu akan lebih banyak diam dan berdoa.

"Ini kerana Islam tidak pernah mengajar kita untuk mencincang manusia yang sudah luka. Hari ini mereka diuji, esok mungkin giliran kita,” pesannya.