Ahli sindiket along mengaku salah simbah cat, ugut bakar rumah

Iklan
Suspek diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret pada Rabu.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat ke atas kediaman dan kenderaan milik seorang wanita.

Tertuduh, R Sahswin, 25, dan P Yugendran, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret A. Shaarmini di tiga Mahkamah Majistret yang berasingan.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya dijatuhi hukuman denda sebanyak RM4,500 setiap seorang atau 12 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat ke atas pagar rumah milik seorang individu di Jalan Jenawi 8, Taman Puteri Wangsa, pada jam 10.57 malam, 1 Mei lalu, menyebabkan kerugian melebihi RM35.

Iklan

Di hadapan Majistret Nabilah Nizam, Sahswin turut dikenakan denda RM1,000 bagi setiap dua pertuduhan menyimbah cat ke atas rumah dan sebuah kereta jenis Honda City, dengan kerugian berjumlah RM35 dan RM350 masing-masing.

Perbuatan itu didakwa berlaku di Jalan Lading 11, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada jam 10.40 malam, 1 Mei lalu dan di Jalan Tun Abdul Razak, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 27 April lalu.

Iklan

Manakala Yugendran pula dijatuhi hukuman denda RM2,200 atau 12 bulan penjara oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah ke atas pagar rumah di Jalan Hang Jebat 4, Taman Skudai Baru, menyebabkan kerugian RM249.37, pada jam 3.12 petang, 28 April lalu.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, di hadapan Majistret A. Shaarmini, Sahswin turut menghadapi satu lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki dengan menyembunyikan identiti melalui nota ugutan untuk membakar rumah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.20 petang, 9 Mei lalu di rumah yang sama di Jalan Jenawi 8, Taman Puteri Wangsa. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan Sahswin diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta pelantikan peguam.

Sahswin turut didenda RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuhnya pada jam 3.55 petang, 15 Mei lalu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Yugendran pula dikenakan denda RM1,800 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama pada jam 4.00 pagi, di tempat dan tarikh yang sama. Mereka turut diperintahkan untuk menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Dalam kes berasingan di hadapan Majistret Atifah Hazimah, Sahswin dan Yugendran bersama seorang lagi tertuduh, S.K. Kiren, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 20.04 gram ganja di Jalan Inang 7, Taman Skudai Baru, pada jam 11.40 malam, 14 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat sehingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nik Noratini Nik Azman manakala semua tertuduh diwakili peguam V. Pushparajan.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar mengesahkan penahanan ketiga-tiga lelaki tersebut oleh polis pada 14 Mei lalu, selepas disyaki menerima upah untuk melakukan ugutan jenayah, menyimbah cat dan mengunci pintu rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman.